KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) membuka tawaran kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menerima cabaran debat terbuka berkaitan kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang sah semasa sidang Dun Perak pada 7 Mei yang lalu.
"BN tidak sabar menunggu sehinggga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 untuk menafikan hak rakyat. Kami yakin rampasan kuasa kedua semasa sidang Dun Perak pada 7 Mei tersebut jelas melanggar peraturan-peraturan dalam DUN Perak.
"Jelas kelihatan campur tangan Datuk Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak semasa sidang Dun Perak sedang berjalan telah berlaku.
"Ini ditambah dengan penglibatan pihak-pihak yang tidak berkaitan ke dalam dewan tanpa mempunyai kuasa telah melakukan kebiadapan kepada Speaker," jelas Naib Ketua DPPN Pk, Salman Haji Saleh dalam kenyataan medianya.
Beliau yang mewakili DPPN Pk berkata, pihaknya amat kesal terhadap penghormatan V. Sivakumar sebagai Speaker yang masih dinafikan semasa sidang Dun Perak pada 7 Mei lalu.
"Keduanya, Datuk R. Ganesan yang menyamar sebagai Speaker tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa dengan laporan Polis telah dibuat sudah hampir 6 bulan oleh banyak pihak.
"Ketiganya, segala keputusan yang telah diputuskan oleh Speaker diterima tanpa ada bantahan oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika itu," jelas beliau.
Salman mengingatkan, jika sidang Dun Perak pada 7 Mei lalu dilihat sebagai pembunuhan demokrasi yang jelas, ini amat membimbangkan kerana peraturan-peraturan yang sedia ada adalah bersifat kuno dan terkebelakang.
"Jika perkara ini berlarutan, DPPN amat bimbang kehormatan dan pegangan rakyat terhadap demokrasi semakin pudar di Negeri Perak khasnya," jelas beliau lagi.
Dalam kenyataannya, beliau yakin, rakyat akan bersama PR bagi memastikan pada PRU ke-13 nanti Umno akan tumpas di Perak.
"Kami mengucapkan syabas kepada Umno dan BN Perak dengan kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan ini," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan