Khamis, 26 Mei 2016

LAPORAN KEPADA SPRM DAN NASIHAT ANWAR IBRAHIM SUPAYA KEMBALI KEPADA MATLAMAT REFORMASI - Rafizi



Saya ucapkan terima kasih atas maklumbalas yang diberikan oleh pelbagai pihak sejak teguran saya di dalam kumpulan whatsapp “Solidarity for Anwar” dibocorkan dan menjadi isu politik hangat. Ada yang mengkritik, ada yang menyokong, ada yang bimbang, ada yang memfitnah, ada yang ambil kesempatan. Saya terima semua maklumbalas ini dengan berlapang dada kerana ia gambaran masyarakat kita yang rencam.

Ada satu pandangan dari kalangan pendokong parti dan rakyat terbanyak yang bimbang bahawa perkara ini akan melemahkan parti. Ada yang lebih kasar dan menuduh saya sudah dibeli oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Umno untuk mensabotaj parti demi melepaskan diri dari pelbagai dakwaan di mahkamah yang saya sedang hadapi.

Oleh sebab itulah saya menyerahkan dulu kepada keputusan Presiden dan Biro Politik untuk menentukan sama ada saya boleh melaporkan aduan salahlaku terus kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Keputusan itu saya buat dengan mengambil kira rencam pandangan mengenai isu ini dan jika tidak berhati-hati, niat baik saya untuk saling ingat mengingati akan bertukar menjadi polemik politik yang boleh merenggangkan lagi kebersamaan di dalam parti.

Makanya saya berharap rakyat memahami bahawa sedang komitmen saya kepada pencegahan rasuah adalah tidak berbelah bagi baik di dalam atau luar parti; saya juga perlu sensitif kepada adu domba politik yang boleh mengeruhkan keadaan.

Alhamdulillah Presiden parti, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Biro Politik membuat keputusan yang tepat seperti yang saya yakini dari awal. Presiden bersama-sama Biro Politik mengarahkan bahawa saya membawa terus semua aduan yang saya perolehi sekarang ke SPRM agar siasatan telus boleh dimulakan. Saya memilih untuk tidak hadir dalam mesyuarat Selasa lepas kerana saya adalah pihak yang berkepentingan (“interested party”) dan lebih wajar sekiranya keputusan Biro Politik dibuat tanpa dipengaruhi oleh saya sendiri.

Saya bersyukur dan berbangga menjadi anggota KEADILAN sejak hari pertama parti ini ditubuhkan apabila saya dimaklumkan keputusan itu. Keputusan Presiden dan Biro Politik minggu ini akan menjadi satu rujukan (“precedent”) selepas ini bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.

Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi.

Semasa reformasi tercetus dalam tahun 1998, saya adalah Pengerusi Majlis Tertinggi Pelajar Malaysia di UK (UKEC) iaitu gabungan pelajar Malaysia luar negara yang terbesar di dunia. Sebagai pimpinan pelajar pada ketika itu, saya terjun menyertai anak muda lain di jalanraya dengan matlamat yang jelas: reformasi adalah perubahan sistem yang meletakkan rakyat di atas; reformasi bukan solekan kepada sistem sedia ada, reformasi bukan penambahbaikan kepada sistem yang diamalkan Barisan Nasional. Reformasi bukan transformasi dan bukan deklarasi.

Di awal tercetusnya reformasi, ia berjaya meledakkan idea-idea yang sebelum itu ditolak mentah-mentah dan dilihat tidak sesuai di negara ini. Hasil reformasi, citra politik tanahair bertukar menjadi lebih terangkum (“inclusive”) apabila KEADILAN menjadi parti politik pelbagai kaum yang paling berjaya dan paling lama bertahan lantas merintis kepada kemungkinan sistem dua parti bertapak di Malaysia.

Reformasi meyakinkan aktivis-aktivis bahawa segala kekangan yang sebelum itu melumpuhkan gerakan pembangkang (dari media perdana yang dihamba-abdikan kepada undang-undang zalim seperti ISA dan Akta Polis yang menyekat perhimpunan aman) boleh dihancurkan jika ada penentangan yang berterusan, lalu lahirlah semangat #lawantetaplawan (walaupun pada awalnya hanya sebilangan kecil yang melawan dan kebarangkalian usaha mereka membuahkan apa-apa hasil adalah tipis).

Reformasi mengajak masyarakat membuat anjakan berfikir supaya tidak terus kekal dalam sistem berteraskan ketuanan dan fuedalisme yang diwarisi beratus tahun dan diperturunkan penjajah. Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah ahli politik Melayu pertama yang menyatakan bahawa kesesuaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berakhir dan satu pendekatan membasmi kemiskinan dan menghapuskan kesenjangan “intra-“ dan “inter-“ kaum berasaskan keperluan diperlukan – tidak ada ahli politik sebelum beliau berani mengungkapkan itu secara terbuka.

Kerana reformasi yang saya kenali pada tahun 1998 bermula dengan perkara asas “bercakap benar walaupun dihadapan seorang raja”. Reformasi yang itu tidak meletakkan perkiraan menang kalah atau untung rugi sebagai asas membuat keputusan. Ia mengajar saya menzahirkan yang benar walaupun dicemuh oleh semua orang kerana membohongi atau membodohkan rakyat (tidak kiralah sebaik mana matlamat dan niat berbohong) itulah yang telah melahirkan Umno/Barisan Nasional dan segala penyakitnya hari ini.

Justeru, warkah dari Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan supaya KEADILAN tidak tersasar dari niat dan matlamat reformasi datang pada masa yang tepat. Saya khuatir apabila ada segelintir di dalam parti yang membicarakan soal kewajaran bercakap mengenai aduan salah laku di dalam parti; bicara itu lebih rancak dari bicara keperluan memastikan tidak ada kelemahan yang menyebabkan salah laku berlaku. Saya khuatir apabila segelintir rakyat mengeluh mengenai kemahuan mereka agar pembangkang nampak bersatu agar lebih diyakini berbanding Barisan Nasional; keluhan itu lebih kuat dari desakan mereka agar kerajaan-kerajaan Pakatan Harapan perlu lebih ke depan membawa tata kelola dan urus tadbir yang lebih telus dan berkesan.

Saya ingat di awal reformasi dahulu, saya mula memahami erti “kuasa itu membutakan” (“power corrupts”). Tidak ada sistem yang boleh menjamin tidak berlakunya penyelewengan dan salah laku tidak kira dari parti mana kerana bila berdepan dengan kuasa dan wang, nafsu manusia adalah berbeza.

Namun yang membezakan reformasi dari sistem kerajaan yang diamalkan oleh Barisan Nasional ialah bagaimana salah laku ditangani.

Barisan Nasional menyembunyikan salah laku, reformasi terbuka mendedahkan salah laku.

Barisan Nasional tidak peka kepada rasuah, reformasi cukup peka kepada bagaimana satu sen wang rakyat dibelanjakan.

Barisan Nasional menyalahgunakan institusi untuk melindungi penyelewengan, reformasi mempertahankan kebebasan institusi agar penyelewengan dapat dihentikan dan dihukum.

Barisan Nasional memberi dalih untuk tidak mengambil tindakan terhadap penjawat awam yang kekayaannya tidak padan dengan gaji, reformasi meletakkan piawai yang lebih tinggi bahawa seorang penjawat awam itu perlu menjawab kepada rakyat walaupun beliau mungkin tidak dikira memakan rasuah di sisi undang-undang,

Saya menarik nafas lega kerana disebalik rebut-ribut di dalam cawan minggu ini, saya yakin semangat dan matlamat reformasi masih segar dan semakin kukuh di dalam KEADILAN. Kalau dulu kita diuji dengan susah payah dan tekanan untuk menilai kecekalan kita, kini kita diuji dengan harta dan kuasa untuk menilai keikhlasan kita.

Oleh yang demikian, suka saya memaklumkan kepada semua (termasuklah rakan-rakan Umno/Barisan Nasional yang seperti kadok naik junjung mendesak yang membuat laporan SPRM sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain) bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku (yang saya rujuk di dalam whatsapp yang dibocorkan) pada hari Isnin 30 Mei 2016 jam 1130 pagi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.



RAFIZI RAMLI

NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG

AHLI PARLIMEN PANDAN




Rabu, 18 Mei 2016

Tiada dua deklarasi yang diperjuangkan hanyalah 'DEKLARASI PERMATANG PAUH'




Baca dan hadamkan.....

DEKLARASI PERMATANG PAUH

Menyedari gesaan al-Quran yang bermaksud ..tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami,

Dan berilhamkan tradisi budaya-budaya Asia yang keseluruhannya menganjurkan pembaharuan diri dan masyarakat; Dan menginsafi bahawa Malaysia kini dicengkam kemelut yang dahsyat dan memerlukan kekuatan dalaman untuk bangun semula; Maka kami rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama bertekat untuk melancarkan gerakan reformasi yang menyeluruh:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani,dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil;

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi,menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Gerakan reformasi untuk membawa bangsa Malaysia ke zaman maklumat dan dunia tanpa sempadan, menjana kebijaksanaan, keyakinan dan keterbukaan untuk menjalin persahabatan sejagat berdasarkan prinsip kebenaran dan keadilan.

Kami akan menggerakkan reformasi ini dengan aman, mengikut semangat perlembagaan dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

Masanya telah tiba. Bersatulah untuk reformasi.

Permatang Pauh
12 September 1998

ANWAR IBRAHIM

Isnin, 16 Mei 2016

Warkah PEDAS DSAI dari penjara buat penyokong Deklarasi Rakyat



Saudara-saudara, presiden, timbalan dan rakan-rakan pimpinan yang dikasihi.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Permasalahan yang akan saya utarakan perlu dilacak dan diteliti dengan tenang. Intipati gagasan tidak tersasar dari dasar perjuangan dan konsisten dengan nada lakaran sebelumnya. Kekhuatiran saya adalah jika saudara-saudara sekadar mendengar dengan hormat tetapi gagal membenahinya.

Dalam sejarah perjuangan kita, terdapat episod getir yang menuntut bongkahan pemikiran dan penyuluhan. Permasalahan kini terkait dengan Deklarasi Rakyat yang turut mengheret pimpinan dan wadah kita untuk bersekongkol dengan Tun M dan Daim.


Pandangan saya mungkin bercanggah dengan pendirian majoriti pimpinan. Saya gusar kerana mengandaikan strategi tersebut agak terlanjur dan menggugat sendi nadi dan tunggak perjuangan. Kita perlu menghindari dari bahaya terjebak dengan permainan elit penguasa dan muslihat licik mereka untuk mengekalkan sistem usang. Kendati begitu, ramai rakan-rakan merasakan bahawa strategi baru tersebut ampuh dan terbaik.

Ia dikatakan berjaya memberikan lonjakan baru dengan penggemblengan semua kekuatan yang mungkin untuk menumbangkan Datuk Seri Najib selaku perdana menteri dan selanjutnya menjana perubahan. Mereka yakin untuk mengawal keadaan dan mengelak dari berlakunya sebarang penyimpangan. Pertembungan idea di kalangan kita mengusutkan memang perlu dirungkai tanpa mengundang perbalahan atau persengketaan peribadi.
Saya amalkan pendirian yang sama tatkala menyingkap inisiatif penandatangan akuan bersumpah bersama Tengku Razaleigh yang kini terkubur. Saya dan pimpinan telah memberikan persetujuan meskipun saya pohon kewaspadaan untuk kembali menegakkan dasar dan khittah perjuangan.
Kita juga tidak wajar mengungkit kebijaksanaan pimpinan menyertai dan menandatangani Deklarasi Rakyat (DR). Dalam beberapa warkah sebelumnya, saya terus menggesa pimpinan agar waspada dengan politik elit penguasa dan keperluan mempertahan dasar perjuangan. Persoalan sekarang adalah menentukan hala tuju seterusnya.

Saya lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok DR, yakni dengan mula menetapkan jarak. Di sebaliknya kita perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara; selaras dengan dasar dan gagasan yang kita gendong selama ini. Kelompok DR, termasuk Tun M mungkin saja menyertai program tersebut tetapi perlu ketara agenda perubahan dan bukan DR. Izinkan saya jelaskan selanjutnya:
Saya pernah mempersoalkan dengan penuh kesangsian – ketika perbualan ringkas di mahkamah berkenaan mengapa kesungguhan kempen untuk mengangkat deklarasi yang menafikan kepentingan moral untuk reformasi terhadap demokrasi yang beramanah democratic accountability? Terima kasih kerana maklum balas segera dan nota-nota penjelasan.

Pelancaran DR adalah seolah-olah seperti telah ditetapkan tanpa boleh dirunding ataufait accompli. Hanya setelah desakan daripada pimpinan NGO pada saat-saat akhir, sebahagian daripada pandangan kita dimasukkan, hanya sekadar mencantikkan deklarasi. Secara dasarnya, ia kekal sebagai dokumen Tun M, cacat dan tidak selari dengan pandangan dari sudut reformasi.

Ia hanya menumpukan kepada pengunduran Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri susulan skandal 1MDB. Ini adalah jelas jauh terpesong daripada raison d’etre atau asas perjuangan kita; untuk kebebasan dan keadilan, kedaulatan undang-undang, melawan salah guna kuasa dan rasuah, dan keadilan untuk semua!
Pimpinan dilihat seperti terpesona dan berpuas hati dengan jaminan bahawa segala tuntutan akan ditangani setelah pengunduran Najib. Ini mengingatkan kembali kepada komplot ‘penguasa elit’ yang saya terangkan sebelum ini. Ia adalah secara jelas menguntungkan yang kaya dan yang berkuasa manakala rakyat akan terus dipinggirkan. Kita hanya baru sahaja terlibat dengan ‘akuan bersumpah – kemelut SD'. Jaminan yang sama diberikan secara tertutup.

Dan dalam keterujaan atau keterdesakan untuk mengubah tampuk kepimpinan negara, kita berikan komitmen. Sekarang ia menjadi bahan sindiran dan memalukan, khususnya apabila Ku Li sendiri menafikan keterlibatan beliau dan menganggap rancangan tersebut sebagai tidak masuk akal. Beliau licik mempergunakan SD ini untuk meletakkan diri beliau sebagai calon kompromi apabila berlaku pertembungan atau kebuntuan antara Zahid dan Hisham. Saya bingung bagaimana ada di kalangan kita dalam Pakatan Harapan yang terus meletakkan harapan agar ‘perubahan’ boleh berlaku melalui tipu muslihat.
Dan kini, meneruskan gerakan tersebut, yang dipimpin oleh mereka daripada kelompok penguasa atau pemerintah, kita bersungguh-sungguh memberi sokongan kepada usaha baru ini, digambarkan seolah-olah sebagai strategi inklusif – rakyat. Hanya satu penjelasan yang boleh diterima iaitu tindakan terdesak. Kita terdesak untuk angka sokongan – yang sebenarnya adalah demi kepentingan dalam politik tanpa sekelumit rasa bersalah.
Kita kena berlaku jujur. Kita terlibat dalam kedua-dua inisiatif dan bersetuju agar Johari Abdul mewakili kita dalam inisiatif SD manakala Azmin Ali, Tian dan Rafizi menyertai dalam inisiatif DR. Tetapi saya sentiasa mengelak daripada menggunakan terma menyokong dan komitmen. Ia meresahkan untuk melihat pimpinan kita menjadi sebahagian daripada pasukan dengan seorang pemimpin yang zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan!

Seorang peguam kanan memaklumkan kepada saya beliau memerhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin ini terpegun dan merendah diri dalam kehadiran bekas autokrat dalam program terbuka seolah-olah masih tersekat dengan budaya feudal. Walaupun dengan kepetahan Azmin, Ambiga dan Mat Sabu yang lantang dan meyakinkan, pengolahan agenda reformasi hanya menjadi isu sampingan.

Jangan terpedaya dengan menganggap kenyataan-kenyataan mengutuk kezaliman yang melampau ketika waktu pemerintah Tun M akan mampu mengajak beliau untuk melakukan perubahan yang sistematik. Beliau terkenal dengan kecekalan, begitu tertumpu dengan agenda beliau yang sukar digugat. Ketakutan yang sentiasa menghantui diktator dan autokrat adalah pendedahan jenayah-jenayah yang dilakukan dan berbilion-bilion wang yang dicuri.
Sifat ihsan dan berlapang dada terhadap Tun M tidak pernah dihargai. Bukan sahaja tidak menyesal, beliau menunjukkan sifat terkutuk dalam diri beliau dengan meneruskan serangan peribadi. Penghinaan ini sedihnya tidak dibela oleh rakan-rakan yang saya letakkan kepercayaan. Saya beranggapan kalian lebih mementingkan untuk mempertahankan usaha sama dan kepentingan dengan Tun M.

Malangnya, ini hanya akan meyakinkan beliau untuk tidak rasa bersalah terhadap kerosakan dan pembaziran yang berlaku ketika zaman beliau. Gayanya seperti telah beralih dari menafikan kepada menghapuskan kesalahan lampau! Azizah dan saya merasakan keperluan untuk membantah sebagai prinsip kami dan mempertahankan maruah. Kenyataan kami merujuk kepada pemerintahan autokratik, keperluan untuk wacana menyeluruh bukan seperti pendekatan diktator beliau.

Pandangan kami, deklarasi telah gagal untuk membawa kebajikan rakyat kebanyakan, terutamanya kesengsaraan ekonomi dan reformasi institusi. Kepada mereka yang taksub dengan Deklarasi, pasti tidak mengalukan kritikan sebegini. Saya minta berbeza pendapat dan mengutarakan penjelasan dalam perkara tersebut.

Seterusnya pimpinan NGO telah membuat pendirian yang tegas kepada Tun M; walaupun secara peribadi berbanding dengan Tun M yang sentiasa memberi pandangan secara terbuka. Selepas itu penjelasan dibuat bagi perkara yang tidak mempunyai apa-apa perubahan; iaitu majoriti ahli Parlimen akan menentukan calon perdana menteri yang baru.
Dalam surat saya sebelum ini kepada Biro Politik, saya menzahirkan keraguan – yang mana deklarasi dan pendekatan baru ini bertentangan dengan perubahan jitu atau reformasi. Saya menyeru pimpinan untuk tidak memandang rendah komplot mereka. Jangan terlalu yakin dengan menganggap kalian mampu mematahkan percaturan mereka. Jangan peringatan ini dipandang remeh.
‘The best lack of all conviction,
whilst the worse
Are full of passionate intensity’
 [William Butlers Yeats]
‘Yang baik tidak yakin dengan kebaikan,
Manakala yang buruk
Tegar dengan tumpuan sepenuh jiwa mempertahankan keburukan [WB Yeats, penyair dari Ireland]
Berhati-hati dengan Machiavellians yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada kroninya.
Kita mengangkat diri kita sebagai mempunyai jiwa yang besar, didorong semata-mata demi kepentingan negara. Apa yang hilang daripada benak pemikiran kita adalah keadaan sebenar yang tatakelola dalam kerajaan telah dimusnahkan dan apa yang membimbangkan adalah tiadanya rasa menyesal dan tiada kesungguhan menyokong reformasi.

Kedua-dua Tun M dan Daim merupakan dalang dan begitu agresif mempertahankan kroni kapitalisme. Melalui proses yang tempang dan korup penjana bebas elektrik IPP dianugerahkan, projek lebuh raya diswastakan, barangan keperluan dimonopoli oleh kroni-kroni. Ianya amat jelas mempergunakan dan membebankan rakyat. Kerakusan ini tidak terhenti dengan pemerintahan mereka dan kesan kerosakannya masih dirasai sehingga kini.
Saudara mungkin dapat rasakan pendirian saya yang semakin tegas setelah pendekatan berjiwa besar dan berdamai yang mana pada awalnya seperti kebanyakan di kalangan saudara, saya agak naif menjangkakan Tun M akan lebih terbuka kepada perubahan. Beberapa siri perbincangan dengan pimpinan PH dan NGO tidak berjaya merubah atau menghalang ketaksuban dan dendam peribadi terhadap Najib tetapi bukan terhadap sistem yang bobrok dan rosak.

Ia seperti tidak masuk akal selepas bekerjasama dengan PH, NGO dan rakan-rakan kepercayaan saya, beliau masih terus menghina dan menyerang saya! Perangai seperti itu menghalang dari kemungkinan untuk pertemuan dengan ahli keluarga saya. Ada sahabat menyebut dengan takzimnya untuk tidak mengharapkan seorang yang telah berusia 92 tahun untuk akhirnya berubah. Ini hanya mengukuhkan keyakinan saya bahawa kumpulan elit penguasa hanya akan berusaha menyelamatkan Umno dan memastikan kebangkitan sistem usang.
‘The serpent that did sting…
Now wears the crown.’
 [Shakespeare]
‘Berhati-hati jangan dipatuk dua kali…
Ular itu kini memakai mahkota’ [Shakespeare]
Rakyat kebanyakan kekal, sebagai suara yang penuh kesedaran, harapan rakyat untuk pendirian yang berprinsip. Kita tidak boleh dianggap sebagai menghalang atau melengahkan agenda reformasi; atau tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat.

Kita menuntut kebebasan, keadilan ekonomi, mengurangkan jurang kekayaan, melawan rasuah dan rampasan korporat. Percayalah dalam kebijaksanaan suara rakyat kebanyakan; dan berpandukan kepada aktivis, reformis dan memperkukuhkan akar umbi parti.
Izinkan saya mengulas kepada persoalan-persoalan lain. Maaf – tetapi saya tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability.
Saya telah menegaskan pendirian yang bertentangan dan tiada bukti yang boleh dikemukakan sebaliknya. Saya juga telah diminta untuk menunjukkan pendekatan jelas dan tidak mengelirukan terhadap deklarasi; dan saya berbuat demikian dengan tepat.

Tetapi saya mengutuk sikap yang tidak peka mendesak presiden, dan khususnya Nurul Izzah untuk membuat kunjungan hormat terhadap Tun M atau menyertai program beliau. Kamu mungkin nak mengambil hati beliau, tetapi menuntut pengorbanan daripada keluarga saya, terutamanya selepas cemuhan beliau baru-baru ini adalah sangat tidak berhati perut!
Dan tolong jangan melayan yang mengaku sebagai ‘sumber sahih, dipercayai’ yang mana Najib telah menghantar utusan untuk bertemu dengan saya dan telah berlaku satu pertemuan dengan Zahid di HKL minggu lepas.
Ini adalah fitnah dan disebarkan dengan niat untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan. Kepercayaan adalah seperti semakin terhakis. Saya dengan yakin boleh mengandaikan kalaulah pertemuan itu benar-benar berlaku, kredibiliti saya masih kekal tidak terjejas. Dan sebaliknya, saya akan berterus-terang dengan rakan-rakan jika benarlah bahawa berlaku tawaran atau dakwaan terhadap mereka. Ia adalah memalukan untuk menunjukkan sikap sebegini; tetapi kita perlu membina semula kepercayaan dan mempunyai sifat kasih sayang.
Akhirul kalam – saya kini diselubungi rasa sugul. Saya tidak berhasrat membebankan saudara-saudara dengan derita kesepian mendekam di penjara. Ujian sedemikian betapa pun sukar buat saya, Azizah dan keluarga tetapi tidak serumit dan kusut menangani perkembangan parti mutakhir ini. Sejak bergulirnya Reformasi 1998, saya merasakan idealisme perjuangan mula terhakis, teruji dengan kilauan kuasa dan dana. Kekuatan saya sekadarnya, jika diakui adalah dengan meniupkan dan menyemarakkan kesedaran k earah perubahan – islah mas ta ta’ (perubahan sedaya upaya). Maka kita bergelut selama hampir dua dasawarsa menghadapi kekejaman dan keperitan hidup. Kita pecahkan tembok ketakutan; perkauman; kesempitan takrif agama kepada rahmatan lil ‘alamin.
Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa. Atau di sebaliknya, apakah saya dirundung malang kerana sukar menerima kenyataan? Memadai saya rumuskan keterbatasan dan kelemahan saya yang tidak upaya menggalas persefahaman baru DR.

Saya tidak berhalangan jika rapat umum dan sesi ceramah kita diteruskan dengan menekankan agenda Keadilan; menolak kerakusan kuasa dan pemerasan rakyat. Kelompok lain mungkin saja hadir menerangkan DR; tetapi jangan berganjak dari pendekatan kita. Pastinya tokoh lama tersebut yang tidak mendukung gagasan rakyat tidak wajar ditonjolkan kerana ia akan mengelirukan rakyat; mengaburkan agenda reformasi malah mengkhianati amanah islah.

Dalam wacana mengenai mauduk tersebut, itu saja batas yang saya mampu perakui. Jika majoriti memilih untuk mendukung persefahaman DR sepenuhnya; saya akur tetapi akan menyepi dan hanya mengulangi hasrat mendamba perubahan seutuhnya.
Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan.

Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan. Pandangan dan ulasan dari rakan-rakan sebegitu penuh dengan prasangka, dan sekilas mata dapat menyelamai kelompok yang diwakili. Persoalan nilai, akhlak, bahaya fitnah wajib dihindari. Maka keupayaan saya terbantut disini.
Saya pohon setulusnya agar warkah ini tidak diputar dan ditafsir mengikut selera kabilah. Warkah ini berupa wasiat dan amanah perjuangan untuk semua sahabat dalam saf kepimpinan. Telaah dan manfaatkanlah sebaiknya. Maaf dipohon seandainya dianggap terlanjur dan menyinggung.
Dalam kesepian dan murung, saya banyak menyemak puisi termasuk The Best Poems of the English Language: from Chancer through Proust karya Harold Bloom. Sebelumnya saya asyik dengan Pablo Neruda; Anna Akhmatova (Tsarina of Poetry); WS Rendra dan A Samad Said.

Rakan saya penyair Tawfiq Ismail pernah melakar di zaman remajanya – puisi yang saya hafal; dan pernah saya deklamasikan di Bandung sekitar 2005. Judulnya: "Memang Selalu Demikian, Hadi" (1966) di era gerakan mahasiswa menentang PKI dan Sukarno. Pohon izin menggantikan Hadi dengan "Saudaraku": "Memang selalu demikian saudaraku".
Setiap perjuangan selalu melahirkan
Sejumlah pengkhianat dan para penjilat
Jangan kau gusar, saudaraku.
Setiap perjuangan selalu menghadapkan kita
Pada kaum yang bimbang menghadapi gelombang
Jangan kau kecewa, saudaraku.

Setiap perjuangan yang akan menang
Selalu mendatangkan pahlawan jadi-jadian
Dan para jagoan kesiangan.
Memang demikianlah halnya, saudaraku.
Kepada Allah SWT dipohon keberkatan dan restu.
Semoga perjuangan diberkati. Amin
Anwar Ibrahim

Ahad, 15 Mei 2016

MAJLIS HI-TEA & DIALOG mengenai HAK DAN KEBAJIKAN PEKERJA

PENGUMUMAN!! PENGUMUMAN!!!

Dijemput tuan2 puan2 adik kakak abang2 untuk sama2 menghadirkan diri ke

MAJLIS HI-TEA & DIALOG mengenai HAK DAN KEBAJIKAN PEKERJA



yang akan diadakan seperti yang tertera di bawah...

Majlis yang julung kalinya diadakan...

Jadi,ayuh kita mengambil info yang berguna mengenai hak kita sebagai pekerja...

Jangan lupa untuk kosongkan tarikh tersebut dari aktiviti lain dan hadirkan diri beramai-ramai ya...

Sabtu, 14 Mei 2016

*DEBAT PERDANA* Deklarasi: Mana pergi *RAKYAT*..??


*DEBAT PERDANA*
Deklarasi: Mana pergi *RAKYAT*..??

Tarikh: *16 Mei 2016*
Masa: *8 mlm*
Tempat: *Dewan KLSCAH, Kuala Lumpur*
Anjuran: *SAMM*

Panelis Pro Deklarasi:
> *Datuk Ambiga*
> *DS Khairuddin*
> *YB Khalid Samad*

Panelis Pro Reformasi:
> *Sdr Arul PSM*
> *Sdr Haris Ibrahim*
> *Che'Gubard SAMM*

Moderator: *Sdr Azzan Adnan*

Semua dijemput hadir..

Jumaat, 13 Mei 2016

TANGGUNGAN HUTANG 1MDB SEBANYAK RM27.8 BILION: RAKYAT TERPAKSA KORBANKAN 2 UNIVERSITI AWAM DAN 3 HOSPITAL SETIAP TAHUN SELAMA 15 TAHUN




Saya agak terkejut dengan kenyataan Gabenor Bank Negara yang baru Datuk Muhammad Ibrahim yang dipetik berkata bahawa beliau yakin kerajaan akan memastikan semua hutang 1MDB akan dibayar. Walaupun saya faham amaran tersirat beliau kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan ekonomi dan kewangan negara hanya boleh pulih sekiranya beban kewangan akibat 1MDB diselesaikan segera, ia seolah-olah melupakan bahawa sebarang hutang 1MDB yang diselesaikan kepada kerajaan sebenarnya mendera rakyat lebih teruk dari sekarang.

Hakikat bahawa hutang-hutang 1MDB akhirnya akan ditanggung oleh rakyat bukanlah satu perkara yang baru diketahui. Rakyat sudah tahu bahawa jika pun hutang-hutang ini tidak dibayar terus oleh Kerajaan Persekutuan melalui pengambilalihan anak syarikat 1MDB seperti yang berlaku dengan SRC International Sdn Bhd dan Bandar Malaysia Sdn Bhd, hutang-hutang itu akan ditampung oleh suntikan aset negara, kontrak-kontrak besar, pemberian geran dan lain-lain oleh Kerajaan Persekutuan.

Jumlah hutang 1MDB yang kini telah dan berkemungkinan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan adalah terlalu besar, seperti berikut:

HUTANG YANG TELAH DIAMBILALIH
                  i.            Hutang SRC sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) melalui pemindahmilikan SRC dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

                ii.            Hutang Bandar Malaysia sebanyak RM2.4 bilion dari Tabung Haji melalui pemindahmilikan Bandar Malaysia dari 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)


HUTANG YANG BERKEMUNGKINAN TERPAKSA DIAMBILALIH
                      i.        Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang dijamin IPIC tetapi telah melanggar syarat pinjaman apabila 1MDB gagal membayar faedah bulan lalu

                    ii.        Hutang dalam bentuk bon berjumlah US$1.75 bilion (bersamaan RM7 bilion) yang juga dijamin IPIC dan faedah perlu dibayar hari ini. Jika tidak dibayar oleh 1MDB, sekali lagi ia melanggar syarat pinjaman

                   iii.        Hutang dalam bentuk terbitan sukuk/bon patuh shariah berjumlah US$1.83 bilion (bersamaan RM7.4 bilion) yang boleh dituntut serta merta akibat pelanggaran syarat pinjaman hutang-hutang (i) dan (ii) akibat dari “cross defaults”

Ini bermakna, jumlah hutang-hutang 1MDB yang telah dan berkemungkinan besar akan diambilalih oleh Kerajaan Persekutuan adalah RM27.8 bilion. Hutang-hutang ini juga menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar faedah tahunan (dipanggil bayaran kupon) sepanjang tempoh hutang itu belum dilangsaikan.

Untuk membuat anggaran tanggungan hutang 1MDB yang rakyat sedang berdepan, saya menganggarkan kadar faedah 5% bagi kesemua hutang-hutang itu dan tempoh matang purata 15 tahun. Maka jumlah tanggungan sebenar hutang-hutang 1MDB yang berkemungkinan dibayar oleh rakyat Malaysia adalah:

Hutang pokok yang telah diambilalih dan
berkemungkinan diambilalih (seperti di atas)                         RM27.8 bilion

Bayaran faedah pada 5% setiap tahun bagi 15 tahun               RM20.85 bilion

JUMLAH KESELURUHAN                                              RM48.65 bilion

Untuk mengenalpasti kesan tanggungan hutang sebanyak ini kepada kehidupan harian rakyat Malaysia, kita perlu pecahkan tanggungan ini kepada peruntukan tahunan yang terpaksa dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menanggung hutang ini seperti berikut:

Bayaran faedah tahun pada kadar 5%                                      RM1.4 bilion
Simpanan tahunan untuk bayaran pokok dalam 15 tahun      RM1.9 bilion
PERUNTUKAN TAHUNAN DIPERLUKAN            RM3.3 BILION

Maknanya, rakyat Malaysia mesti menyedari bahawa setakat ini, jumlah peruntukan tahunan yang terpaksa dipotong atau tidak dibelanjakan bagi tujuan rakyat akibat hutang 1MDB (yang kita ketahui setakat ini) adalah dianggarkan RM3.3 bilion.

Saya cuba membayangkan kesan ini kepada rakyat dengan menterjemahkannya kepada 2 perkara yang kosnya cukup membebankan setiap keluarga di Malaysia: kos menanggung pendidikan tinggi dan kos kesihatan/perubatan.

Sebuah universiti awam yang baik dan mampu menawarkan pendidikan pada kos yang berkali ganda lebih murah dari IPTS kepada sekitar 5,000 pelajar pada satu-satu masa dianggarkan memerlukan pelaburan awam sebanyak RM750 juta (mengambil kira pembinaan IPTS seperti Kampus Lakeside Taylor’s University yang jauh lebih murah dari itu).

Pada masa yang sama, sebuah hospital besar di peringkat daerah yang boleh memberi perkhidmatan kesihatan/perubatan yang baik kepada sekitar 100,000 orang penduduk dianggarkan berjumlah RM500 juta (mengambil kira kos hospital sedia ada).

Ini bermakna, apabila peruntukan sebanyak RM3.3 bilion terpaksa dilencongkan setiap tahun untuk membayar hutang 1MDB, jumlah itu bersamaan dengan pembinaan dan operasi 2 universiti awam (IPTA) dan 3 hospital awam SETIAP TAHUN. Bagi tempoh matang purata selama 15 tahun, ini bermakna rakyat Malaysia akan kerugian 30 universiti awam (IPTA) dan 45 hospital awam akibat menanggung hutang 1MDB setakat ini.

Sebab itu, skandal 1MDB ini tidak boleh dilupakan begitu sahaja dan rakyat berputus asa hanya kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri. Pimpinan politik dan masyarakat turut sama perlu memikirkan langkah mengelakkan tanggungan hutang ini dan mengambil tindakan secepat mungkin (bukan hanya tertumpu kepada persoalan menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti mana fokus Deklarasi Rakyat akhir-akhir ini).

Saya akan berbincang dengan rakan-rakan pimpinan Pakatan Harapan dan ahli-ahli Parlimen untuk mencari jalan mengelakkan hutang-hutang ini diambilalih oleh rakyat.



RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Khamis, 12 Mei 2016

UMNO CUBA GAGALKAN PROJEK RAKYAT PULAU PINANG






Projek itu  adalah  projek rakyat Pulau Pinang. Ia tidak melibatkan wang rakyat daripada kantung kerajaan negeri. Bahkan, dananya bukan daripada pinjaman Kerajaan Persekutuan. Projek itu bernilai RM27 bilion.

Projek itu bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas yang dijangka makin buruk menjelang tahun 2020. Ia  melibatkan pembinaan sistem LRT atau monorel, Tram, kereta kabel, terowong bawah laut dan penambahbaikan sistem jalanraya di bahagian Pulau dan Seberang Perai.

Namun, Umno sebagai pembangkang melalui adunnya cuba menggagalkan projek yang memberi manfaat besar  kepada pembangunan dan rakyat negeri ini.

Kerajaan Pulau Pinang telah melantik SRS Consortium yang diketuai oleh Gamuda  Berhad sebagai rakan penyampaian projek (PDP) untuk perlaksanaan pelan induk pengangkutan negeri itu.

SRS Consortium juga diberi tanggungjawab projek menambak laut, iaitu membina 3 buah 'pulau jadian' sebagai sebahagian usaha untuk menampung kos projek.  'Pulau Jadian' itu akan dibangunkan dengan pelbagai industri untuk kepentingan lebih 1,663,700 rakyat negeri itu.

Pada Sidang DUN  November tahun lalu, Adun Umno Pulau Betong mengusulkan untuk menangguhkan projek itu, bagaimanapun usul itu ditolak majoriti ahli dewan.

Pada sidang DUN bermula 13 Mei sehingga 20 Mei nanti, pembangkang Umno mahu projek itu gagal melalui usul yang akan dibahaskan bagi membatalkan projek tambak laut untuk membina 3 pulau jadian.

Harap 5 Adun PKR tidak termakan 'umpan Umno' dengan mengambil sikap berkecuali sepertimana mereka lakukan pada sidang Dun November lalu  !

Maklumat lanjut :
Pelan Induk >>>  http://pgmasterplan.penang.gov.my/index.php/ms/2016-02-26-03-12-57

Pelan LRT  >>>> http://pgmasterplan.penang.gov.my/index.php/ms/2016-02-26-03-12-57/pengangkutan-awam/lrt

Pelan Monorel  >>>> http://pgmasterplan.penang.gov.my/index.php/ms/2016-02-26-03-12-57/pengangkutan-awam/monorail

Pelan BRT >>>> http://pgmasterplan.penang.gov.my/index.php/ms/2016-02-26-03-12-57/pengangkutan-awam/brt

Pelan Trem >>> http://pgmasterplan.penang.gov.my/index.php/ms/2016-02-26-03-12-57/pengangkutan-awam/brt

Sumber  dari FB Zul Mohamed





'UMNO PERASUAH 1 Malaysia... Pembohong seluruh rakyat Malaysia’



™ kaasiii peecaaahhh laaaaaa........®
!!" MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH "!!
http://zulmamakpng.blogspot.com/




!!!.. LAWAN TETAP LAWAN...!!!!, SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT...!!!

DSAI menziarahi buat kali terakhirnya arwah Adiknya dengan kawalan ketat Polis








Rabu, 11 Mei 2016

Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43j


Kenyataan Media
11 Mei 2016

Wang Rakyat Selangor Terus Dibazir Dengan Parkir Perpustakaan Bernilai RM43j

1. Sebelum Pilihanraya Negeri Sarawak, saya telah mendapat senarai dokumen projek-projek mega yang diluluskan di bawah pentadbiran MB Azmin Ali di Selangor. Ternyata banyak projek diluluskan dengan nilai yang tidak munahsabah dan cara yang amat meragukan. Namun pendedahan dokumen ini kami tangguh sehingga selesai PRN Sarawak.

2. Sebelum ini SAMM telah membuat beberapa pendedahan yang masih belum dijawab, antaranya ialah mengenai projek ubah suai ringan pintu gerbang dengan kos bernilai hampir RM10juta. Hanya jawapan selamat diberi kononnya projek ini adalah dari wang penderma yang didahulukan kosnya oleh kerajaan negeri, malah salah seorang Adun PKR selangor jawab kononnya ia kehendak istana.

3. MB Selangor juga gagal perjelaskan apa kepentingan wang rakyat sebanyak RM65.03j dibazirkan untuk ubah suai Masjid Shah Alam seperti kerja ganti kubah dan pejabat masjid. Apabila dibangkitkan oleh wartawan, Azmin marah dan suruh wartawan menjawab dengan tuhan, kerana ganti kubah mahal untuk bela syiar islam.

Sedangkan Pakatan Rakyat sendiri pernah mengkritik pembaziran Masjid Kristal di Terengganu, hari ini Azmin buat hal yang sama. Persoalannya, berapa banyak institusi islam, sekolah-sekolah agama, pusat ilmu dan kebajikan islam yang mampu terbela dengan jumlah wang RM69.04 juta, daripada hanya disalurkan ke sebuah masjid?

4. Kemudian SAMM dedahkan pula pemberian kompartmen balak kepada dua syarikat tanpa tender terbuka. Satu syarikat bertaraf "enterprise" (bukan sdn bhd) telah diberi tanpa tender terbuka hak membalak bernilai puluhan juta ringgit. Bila dipersoal azmin cuba cuci tangan kononnya dia tak terlibat malah dia menipu dalam media pada awalnya dengan mengatakan pemberian balak itu melalui tender terbuka. Pendedahan SAMM juga dijawab oleh salah seorang exco selangor dengan ugutan saman.

Namun seluruh kerajaan selangor harus malu mempunyai MB yang dibuktikan menipu di media apabila dokumen minit mesyuarat kerajaan negeri yang berlebel "rahsia" yang didedah membuktikan kelulusan tender balak itu sememangnya tidak melalui proses tender terbuka dan Azmin terlibat mempengerusikan mesyuarat exco meluluskannya. Azmin terus membisu.

5. Terbaru kami mendapat dokumen projek di bawah tajuk "Cadangan menyiapkan tempat letak kereta perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam". Projek ini diluluskan kepada sebuah syarikat dengan nilai RM43juta. Soalnya apakah relevannya RM43juta dibazirkan hanya untuk menyiapkan PARKIR sebuah perpustakaan? Lebih jenaka lagi melalui carian di media, perpustaan itu sendiri disiapkan hanya dengan kos RM60 juta sahaja (sebelum azmin MB). Ini membawa maksud tempat letak kereta hampir sama harga dengan perpustakaan?

6. Kegilaan seumpama ini harus dihentikan. Dalam simpanan kami ada banyak lagi projek mengarut membazir dengan nilai amat tidak munasabah. Sampai bila perkara ini harus diteruskan?

7. Azmin dituntut menjelaskan butiran perbelanjaan projek yang diluluskan dari pintu gerbang (RM9.7j), ubah suai Masjid Shah Alam (RM69.04j) dan terbaru tempat letak kereta perpustakaan RaTU, Shah Alam.

8. Harus diingat, rakyat Selangor suatu ketika dulu berkorban menumbangkan kerajaan Umno kerana memilih perubahan dan reformasi bersama Pakatan Rakyat. Jika kerajaan Selangor terus membazir dan hanguskan duit rakyat, apakah pengorbanan rakyat Selangor dipersiakan?

9. PKR, DAP, Amanah malah Pas yang sama membentuk kerajaan selangor harus tampil juga menyatakan pendirian mengenai kegilaan kerajaan Selangor di bawah Azmin yang meluluskan projek dgn nilai yang sangat menjolok mata. Projek yang diagih tanpa tender terbuka ini amat bertentangan dengan perjuangan yang semua laungkan selama ini. Jika tidak rakyat akan melihat kamu sama sahaja seperti Umno barisan nasional.

Lebih lagi ini membuktikan kempen memperguna nama rakyat 'Selamatkan Malaysia' yang diterajui azmin bersama bapa angkatnya Mahathir hanya munafik semata-mata.

Badrul Hisham Shaharin (cheGuBard)
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

SAMM Gesa Semua Pihak Desak Rawatan Anwar Hingga Pulih Sepenuhnya

Dua hari lepas Anwar Ibrahim sekali dikejarkan ke hospital kerana keadaan tekanan darahnya yang tak stabil. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mohon semua doakan keadaan kesihatannya.
Cuma kali ini kemasukan anwar ke hospital telah diumumkan oleh beberapa orang peguamnya melalui media social mereka sendiri. Tidak seperti sebelum ini sudah dua kali kemasukan Anwar ke hospital tidak diumumkan oleh parti seperti kebiasanya.
Selain itu, Keadaan kecederaan bahu kanannya juga akibat kemalangan di Sri Hartamas sebelum dia dijatuhi hukuman penjara masih belum baik sepenuhnya. Jika kita berjumpan dengan anwar di Makhamah kalau nak bersalam dengan dia pun, Anwar akan bersalam dengan kita guna tangan kirinya kerana masih terasa kecederaan bahu kanannya. Juga kecederaan tulang belakang akibat dipukul oleh ketua polis negara selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 masih dirasainya.
Semenjak dua bulan ini SAMM telah fokus menggerakkan tekanan supaya Anwar Ibrahim mendapat rawatan lengkap di hospital, bukan di penjara. SAMM desak Anwar ditempatkan di Hospital sehingga keadaan kesihatan pulih sepenuhnya malah kami harap semua pihak membuat desakkan secara terus dan terbuka. Lebih banyak pihak buat desakan adalah lebih baik.
Walaupun Anwar kelihatan tenang dan sihat ketika beliau menghadiri setiap perbicaraan mahkamah yang dihadirinya, mereka yang rapat dengan Anwar termasuk kaum keluarga pastinya mengesan riak wajah Anwar yang menahan sakit. Namun, di atas semangat melawan Anwar tetap tersenyum walaupun di sebalik senyuman itu tidak kita tahu penderitaan yang dialaminya. Itulah yang membezakan Anwar Ibrahim dengan orang lain.
SAMM tetap melihat Anwar Ibrahim sebagai simbol perjuangan reformasi rakyat bagi menumbangkan Kerajaan rejim UMNO-BN. Kita perlu akui peranan dan pengaruh Anwar terhadap rakyat serta jasanya yang sanggup dipenjara demi melawan korupsi dan pertahan prinsip telah membuka mata kesedaran rakyat.
Kami sendiri pernah beberapa kali bertembung dengan Anwar dari sudut idea dan pelaksanaan. Namun kita perlu akui peranan dan pengaruh Anwar terhadap rakyat serta jasanya yang sanggup dipenjara demi melawan korupsi dan pertahan prinsip telah membuka mata kesedaran rakyat.
SAMM ingin mengigatkan kepada semua pemimpin Pakatan Harapan yang kini sedang sibuk bersama Deklarasi Rakyat dan Tun Mahathir sehingga seperti melupakan Anwar. Akui lah tanpa pengorbanan Anwar, Kedudukan anda hari ini tidak akan sampai ke tahap hari ini.
Sekian,
Faisal Zainal
Penyelaras Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Warkah Buat Kartel Dan Walaun


Tuan2 semua, seseorang yg nak berkuasa,pd peringkat awalnya dia & soldadunya akan cuba mencemar imej batu penghalangnya. D pkr batu penghalangnya ialah presiden parti iaitu kak wan & imej DSAI. Dgn menimbulkan isu2 bg mengelirukan ahli2 parti serta mengkikis keyakinan ahli2 terhadap presiden & DSAI sebagai ikon perjuangan rakyat

Maka akan d timbul  isu cina nak menguasai m'sia (sama cam umno) & d jadikan dap sebagai mangsa. D nobatkan pas. Sdgkan pas yg memulakan menghancurkan pkt rakyat sbb keegoan pemimpin mrk yg membuat keputusan tampa mengikut lunas perlembagaan & perundingan. Mrk tahu, menimbulkan isu perkauman membuat melayu islam kurang cerdik berfikir

Sebelum perkara tsb dpt d buat secara total, org kuat yg memyokong presiden perlu d hapuskan dgn mempersoalkan kreditbiliti nya iaitu rafizi & rakan2 sama perjuangan krn ianya lebih menonjol & mendapat sokong rakyat kebanyakan.

Langkah kajang ialah langkah yg bijak dlm percaturan politik, d sbb langkah tsb,.umno terlalu takut hingga cuba menghalangnya dgn bertindak menahan DSAI serta mengenepikan ungang2. Umno menggunakan sistem kehakiman mempercepatkan DSAI walaupun persetujuan tarikh perbicaraan tlh d persetuju kedua dua belah pihak.

Dgn terpenjara DSAI, memudahkan kartel & kuncu2nya serta bantuan Tun M & lebai hadi cuba menghancurkan keluarga perjuang rakyat (DSAI & keluarga serta perjuang rakyat rafizi & rakan) & pkt harapan.

Ketua kartel perlu sedar d sbbkan 2 adun pan serta semua yb dr dap yg menyebabkan beliau jdi MB skg. Pas tidak menyokong pd peringkat awal dgn menamakan ahli mrk calon MB. Oleh krn tentangan yg kuat & tiada sokongan dr dap, pas mengalihkan sokong kpd.ketua kartel yg dr mula berkempen jawatan tsb.

Byk lg blh d huraikan. Saya mohon kpd rakan2, yakin la kreditbiliti presiden, keiklasan perjuangan DSAI serta rafizi & rakan yg sama dgn perjuangan mrk dlm membawa perubahan kearah m'sia yg lebih adil utk rakyat kebanyakan.

Peringkat awal, ketua tidak menonjol diri unpama baling batu sembunyi tangan. Yg mengerakkannya barua2 peliharaan beliau. Sebagai ahli parti yg cintakan perjuangan perlu berhati hati, bknnya.pandang sepi terhadap isu ini.

Hanya pkt harapan yg dpt membawa perubahan kpd rakyat m'sia.

Sumber
Dio Sani




Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...