Selasa, 21 September 2010

Antara Rafizi, Hasmi atau Badrul Hisham?


1. Saya baru selesai meneliti hujah-hujah para calon ketua AMK Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam rakaman Debat 3 Penjuru yang melibatkan saudara Rafizi Ramli, Hasmi Hashim dan Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

2. Walaupun terganggu dengan kualiti sistem PA yang bermasalah serta muzik latar yang kurang sesuai, mutu ketiga-tiga pendebat selayaknya dipuji. Mereka telah berjaya menunjukkan mutu perbahasan yang baik di samping mampu mengutarakan gagasan perjuangan dengan cermat dan jelas.

3. Hasmi Hashim adalah penulis dan pemikir yang baik. Namun semalam, beliau kelihatan terlalu menekankan perihal kedudukan penulis yang perlu diangkat dalam menerajui kepimpinan serta cadangan berkenaan perlunya pemilihan Perdana Menteri dibuat secara terus oleh rakyat. Ia suatu gagasan yang baik tetapi saya tidak fikir ia menjadi penekanan utama dalam manifesto seorang calon ketua AMK.

4. Sosok pemikir seperti Hasmi adalah sangat bernilai dan mustahak dalam sebuah parti politik baru dan progresif seperti PKR. Namun, saya kurang pasti kesesuaiannya dalam memimpin sebuah angkatan muda.

5. Rafizi pula tampil berhujah dengan mengimbau tentang titik awal Reformasi ’98 dan semangat kebersamaan yang menggerakkan peristiwa tersebut. Beliau juga mengungkapkan dengan jelas masalah-masalah serta isu-isu orang muda khususnya masalah ekonomi yang mengekang.

6. Beliau juga kelihatan banyak menekankan persediaan AMK dalam mempersiapkan PKR dalam menuju ke Putrajaya. Bagi beliau AMK perlu memperbaiki beberapa aspek dalaman seperti imej AMK, kekuatan kewangan dan kemantapan kaderisasi.

7. Saya hampir sepenuhnya bersetuju dengan semua hujah beliau. Namun, ada beberapa hujah yang saya fikir kurang tepat. Misalnya kriteria yang ditetapkan oleh ahli dalam menilai ketokohan ketua AMK bukanlah berkiblatkan Pemuda UMNO yang ketuanya mestilah bersifat anti-tesis terhadap pemimpin parti. Namun kecenderungan memilih pemimpin pemuda yang agresif dan lantang adalah kriteria umum yang digunakan di mana-mana pun sayap pemuda bersesuaian dengan sifat orang muda yang sebegitu.

8. Walaubagaimanapun, Rafizi Ramli adalah pemimpin muda yang membanggakan saya sebagai anak Terengganu. Cerdik dan berkaliber. (Mudah-mudahan beliau akan mampu menggugat keselesaan YB Ahmad Shabery di kerusi Kemaman)

9. Calon ketiga, Badrul Hisham atau Chegubard pula tampil dengan hujah yang lebih berpijak. Beliau menekankan perlu sifat kepemudaan dalam AMK yang agresif memandangkan cabaran yang bakal dihadapi parti adalah lebih getir khususnya nasib Ketua Umum DSAI yang mungkin akan disumbatkan ke penjara.

10. Saya hanya kurang bersetuju dengan cadangan beliau berkenaan membekalkan kemudahan logistik kepada pemimpin mahasiswa pro-PKR yang mahu bertanding dalam pilihanraya kampus (MPP). Saya fikir Chegubard tidak mengikuti dengan dekat aktivisme mahasiswa kerana tindakan sedemikian (taja calon MPP) adalah sama dengan apa yang diamalkan oleh Pemuda UMNO sejak sekian lama. Jika AMK turut melakukannya, maka di manakah bezanya?

11. Walaubagaimanapun setakat semalam, jika saya adalah salah seorang ahli AMK, satu undi adalah milik Badrul Hisham Shaharin. Dengan harapan yang tinggi agar Rafizi dan Hasmi diletakkan di kerusi penting AMK.

12. Kepada semua calon, selamat bertanding!


hasbiemuda



Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...