Sabtu, 23 Oktober 2010

Pakatan Rakyat tetap akan Junjung, Pertahan Perlembagaan Bila Memerintah - Mus

MK2


SHAH ALAM 22 Okt - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mustaffa Kamil Ayub memberi jaminan tegas bahawa semua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan akan dijunjung dan dipertahankan jika rakyat menyerahkan amanah pentadbiran Malaysia kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

"Bagi saya, rakyat khususnya orang-orang Melayu perlu percaya bahawasesiapa pun yang bakal memerintah kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), semua kepentingan ini tetap akan dipertahankan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Rakyat perlu percaya, bahawa kalau KEADILAN, PAS dan DAP memerintah, semua kepentingan Melayu dan bukan Melayu akan terus dipertahankan kerana Malaysia mengamalkan konsep ketertinggian Perlembagaan.

"Maka, kalau pemimpin-pemimpin tertentu Umno mendakwa bahawa Melayu akan hilang kuasa kalau Umno kalah dalam PRU13 nanti, itu semua adalahdakyah Umno untuk membodohkan rakyat semata-mata," tegas Mustaffa dalam kenyataan medianya semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berkata kepentingan Melayu tidak akan dipadamkan walaupun dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Hujah Najib, ini kerana untuk mengubah soal kepentingan Melayu dalam Perlembahaan memerlukan persetujuan 9 anggota Majlis Raja-Raja Malaysia.

"Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak mampu mengubah apa-apa jua tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai oleh sembilan Orang Raja-Raja Melayu," ucap Najib di Perhimpunan Agung Umno petang semalam.

"Kalau pemimpin-pemimpin dari Pertubuhan Perkasa Pribumi Malaysia (Perkasa) mendakwa bahawa kuasa Melayu akan musnah kalau rakyat memberi mandat kepada KEADILAN, PAS dan DAP, itu juga adalah dakyah untuk mengugut rakyat supaya tidak menolak politik rasis dan kronisme Perkasa dan Umno," ujar Mustaffa yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak.

Beliau menjelaskan di Parlimen, pemimpin KEADILAN serta Pakatan Rakyat khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Oposisi merangkap Ketua Umum bertarung dengan Umno dan Barisan Nasional demi menyelamatkan berbilion-bilion wang rakyat daripada dibazirkan pada dengan beberapa projek mewah dalam Bajet 2011 seperti Menara Warisan Merdeka, Permata, MRT, 1MDB dan sebagainya yang jelas menafikan hak majoriti rakyat.

"Di Dewan Rakyat sekarang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang giat menasihatkan Najib supaya tidak meneruskan projek pencakar langit di atas kemiskinan rakyat yang akhirnya mengundang kebinasaan tamadun.

"Di Dewan Rakyat sekarang, Lim Guang Eng, Setiausaha Agong DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan bertungkus lumus mendesak suatu suruhanjaya ditubuhkan supaya RM52 bilion ekuiti Bumiputera yang hilang dapat disiasat dan dikembalikan kepada rakyat, khususnya orang Melayu," ujar beliau.

Mustaffa berkata selaku Naib Presiden KEADILAN beliau mengajak rakyat baik Melayu mahupun bukan Melayu supaya memperkukuh keyakinan masing-masing serta membantu Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya supaya Malaysia mempunyai masa depan yang jauh lebih aman, bermaruah dan sejahtera sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan.

"Rakyat mesti membantu Pakatan Rakyat. Saya mahu mengambil tanggungjawab ini untuk memastikan Pakatan Rakyat tetap mempertahankan ketertinggian Perlembagaan; tidak ada rakyat baik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dizalimi sebagaimana ketika era Umno-BN memerintah negara.

Malaysia lebih sejahtera sekiranya rakyat menolak politik rasis, kronisme, pembaziran, adu domba angkara pemimpin-pemimpin tertentu negara," tegas beliau lagi.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...