Jumaat, 12 November 2010

Kami Bukan Penceroboh - Penduduk Kampung Pekan Teluk Kumbar










“Kami hanya inginkan keadilan! Kami berharap agar pihak pemaju datang bersua muka untuk membincangkan mengenai masalah ini, bukannya hanya dengan menghantar notis semata – mata!” Itulah luahan rasa tidak puas hati kira-kira 60 penduduk yang menyertai demonstrasi aman di pekan Teluk Kumbar, semalam.

Bantahan hampir dua jam itu bertujuan melampiaskan kekecewaan terhadap pemaju yang bertindak menghantar notis singkat mengarahkan penduduk keluar dari Kampung Pekan Teluk Kumbar.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mahathir Abdul Rahman berkata, penduduk yang mendiami tanah lot 449, 500, 2228 dan 2229 diberikan notis pengosongan pada 18 Oktober lalu.

“Kami diberi tempoh sehingga 1 November untuk keluar dan pemaju berjanji untuk memberi pampasan sebanyak RM20,000 bagi setiap rumah.

“Kami khuatir perjanjian itu hanyalah ‘perjanjian mulut’ tanpa ada sebarang surat hitam putih untuk menjaminnya dan apakah benar pemaju akan menunaikannya?,” katanya.

Mahathir berkata, terdapat 15 rumah di penempatan yang terlibat dan sekurang-kurangnya 18 keluarga terpaksa berpindah dalam masa singkat menyukarkan lagi keadaan.


“Kami sedia maklum bahawa tanah ini milik ceti, namun sewa bulanan tetap dibayar sebanyak RM60 setahun malah cukai pintu turut dilunaskan.

“Pampasan yang dijanjikan pula tidak setimpal dengan nilai kerugian yang terpaksa ditanggung dan pihak pemaju pula tidak turun bersua muka.

“Notis hanya ditampal di beberapa lokasi dan selebihnya dihantar melalui pos.

“Kami amat berharap pihak pemaju dapat ke sini agar perbincangan secara baik dapat dibuat untuk menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.


Beliau berkata, penduduk bukannya tidak mahu berpindah, namun mereka perlu diyakinkan dengan perjanjian sah dan bukannya melalui kata-kata sahaja.

Peguam yang mewakili penduduk, Fatimah Idris berkata, pihak pemaju bertindak melampau apabila menggelar penduduk sebagai penceroboh.


“Sebenarnya, mereka bukanlah penceroboh tetapi penyewa tapak.

“Pembinaan rumah juga dibuat dengan persetujuan pemilik tanah, jadi pemaju
tidak berhak untuk menggelar mereka sedemikian.


“Ketika kes ini dijalankan pada awal bulan ini, kami telah mengemukakan segala dokumen sah hak milik penduduk namun kemenangan tidak berpihak kepada kami,” katanya.

Beliau akan turut membantu mengaturkan pertemuan antara penduduk kampung dan pemaju untuk mencari jalan penyelesaian.


Seorang penduduk, Neoh Chooi Tik berharap pemaju akan memikul tanggungjawab dan bersemuka dengan penduduk.


“Saya telah tinggal di sini lebih 40 tahun dan tidak sewajarnya mereka (pemaju) bertindak sebegini.

“Pampasan perlu dibincangkan lebih lanjut kerana kami yang akan tanggung rugi,” katanya.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...