Ahad, 21 November 2010

Pemilihan ‘sejarah’ PKR tutup tirai, tapi soalannya sasaran tercapai


“(Ia) jumlah tertinggi berbanding lain-lain parti dalam negara,” kata Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesej Twitter menjawab soalan seorang pengikutnya yang bertanya mengapa peratusan keluar mengundi terlalu sedikit iaitu sekitar lapan peratus.

Peratusan keluar mengundi setakat minggu ketiga iaitu seminggu selepas Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada terus bersaing jawatan timbalan presiden adalah 8.4 peratus. Sebelum itu kadarnya sekitar lapan peratus, demikian menurut Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail.

Persoalan mengenai aspek itu berterusan ketika PKR sudah berada di penghujung untuk mengakhiri pemilihan pusat, yang menggunakan sistem pemilihan langsung yang dilihat bersejarah dalam arena politik negara ini.

Hari ini adalah hari terakhir cabang-cabang PKR mengadakan proses pengundian.

Baki 37 cabang melangsungkan proses pengundian iaitu 13 di Johor, tujuh di Selangor, satu di Sabah dan 16 lagi di Sarawak. Proses pengundian yang bermula 10 pagi akan berakhir 4 petang nanti.

Mengulas mengenai tanggapan berhubung peratusan keluar mengundi yang terlalu rendah, kepimpinan PKR mempertahankan langkah memperkenalkan sistem satu anggota satu undi walaupun sambutan akar umbi parti sejak awal musim pengundian peringkat pusat sebulan lalu hambar dengan jumlah turun mengundi kurang 10 peratus.

Timbalan presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali berkata, akar umbi parti sebenarnya menerima baik sistem pengundian langsung tersebut sebagaimana yang disaksikan pada sesi pemilihan peringkat cabang sebelum sebelum ini.

“Dari awal pengundian (peringkat peringkat pusat) peratusan turun mengundi kurang dari 10 peratus, tetapi pengundian peringkat cabang tidak begitu, ada yang lebih dari 10 peratus.

“Peratusan turun mengundi begitu ada faktornya, kesedaran mengundi di peringkat cabang tinggi kerana pemimpin-pemimpin peringkat cabang sendiri mobilisasi anggota untuk keluar mengundi.

“Pemimpin-pemimpin (cabang) ini melakukan demikian mungkin kerana mereka sendiri yang bertanding, menang di peringkat cabang dianggap platform menjadi calon pada pilihan raya umum nanti tetapi parti (PKR) tidak pernah menganggap begitu sebenarnya,” ujar Syed Husin kepada dihubungi The Malaysian Insiderbaru-baru ini.

Syed Husin masih menganggap kadar semasa ini — sekitar 20,000 orang yang telah mengundi di peringkat pusat — “lebih tinggi berbanding 2,000 orang ketika sistem perwakilan” sebelum ini.

Beliau menjangkakan angka itu mungkin mencecah 30,000.

“(Angka kasar) lebih 30,000 orang telah keluar mengundi,” kata beliau menyangkal tanggapan bahawa pemilihan langsung PKR sebenarnya telah gagal.

Calon jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar juga menolak tanggapan bahawa sistem pemilihan pusat menggunakan kaedah langsung di bawah formula satu ahli satu undi gagal mencapai matlamat disasarkan PKR.

“Semua parti di dunia, ada ahli yang aktif dan ada ahli yang pasif atau ‘silent majority’.

Nurul Izzah berkata angka keseluruhan adalah lebih penting daripada peratusan yang keluar mengundi.
“Kebanyakan parti menggunakan sistem perwakilan atau ‘electoral college system’ di mana yang dipilih menjadi ahli perwakilan, berkempen yakini dilihat selaku ahli-ahli yang aktif.

“PKR menggunakan pemilihan langsung dan ahli bebas yang tergolong sebagai aktif atau pasif,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.

Beliau yang berada di depan dalam saingan kerusi naib presiden yang disaingi 16 calon lain menambah, yang penting adalah “absolute numbers” setakat ini iaitu lebih 20,000 daripada ahli yang layak mengundi,” katanya.

PKR mengumumkan sebelum ini pihaknya sekitar 400,000 ahli.

“Ini kejayaan sebenar iaitu ahli bebas dan keluar undi, penentu PKR masih relevan dan utuh,” kata pemimpin muda yang dikenali sebagai “puteri reformasi”.

Nurul Izzah menggariskan cabang Putrajaya mencapai peratus keluar mengundi sehingga 34 peratus manakala cabang Lanang merekodkan 20 peratus, kata Syed Husin.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang bertanding mempertahankan jawatannya berkata, “saya tidak menganggap kadar yang rendah sebagai satu kegagalan, sebaliknya ia satu kejayaan.”

“Memang ada kawasan yang rendah peratusan keluar mengundi dan ada kawasan yang tinggi peratusan keluar mengundi,” kata Ahli Parlimen Ampang ini.

Ampang, yang mempunyai sekitar 6,000 ahli, merupakan antara cabang terakhir mengadakan proses pengundian pusat hari ini.

“Jika 20 hingga 30 peratus keluar mengundi, saya akan menganggap sebagai satu kejayaan,” kata beliau yang meletakkan sasaran untuk menarik sekitar 1,500 keluar mengundi di Ampang hari ini.

Melihat pada perkembangan tahun ini yang merupakan kali pertama, Zuraida sambil menolak idea bahawa PKR harus kembali kepada kaedah lama pemilihan berkata, “saya menjangkakan keadaan akan berubah dalam tempoh tiga tahun akan datang.”

Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Kuala Langat juga tidak menganggap PKR gagal mencapai sasaran pemilihan pusat.

“Tidak betul kalau kita kata gagal kerana sesuatu cabang merasakan ada wakil mereka bertanding (mana-mana jawatan), maka peratusan keluar mengundi adalah ramai, tetapi kadarnya rendah jika tiada wakil mereka bertanding,” kata beliau.

“Kalau tiada calon mereka, maka keluar mengundi tidak bermaya,” katanya lagi.

Kuala Langat yang mempunyai 6,000 ahli telah ditangguhkan pemilihan cabang ekoran kekecohan ketika peringkat cabang akhir September lalu.

Ia antara tiga cabang yang kecoh tempoh. Pemilihan julung kali ini juga tercalar dengan dakwaan manipulasi, kecacatan dan kepincangan proses pengundian.

Dalam ulasannya, Saifuddin pula berpendapat sambutan hambar yang disaksikan sehingga minggu ketiga pemilihan adalah disebabkan oleh faktor halangan komunikasi antara pusat dan anggota parti.

“Peratusan turun mengundi itu disebabkan beberapa faktor, faktor pertama adalah halangan dari segi komunikasi antara anggota bawahan dan pimpinan.

“Satu-satunya saluran komunikasi parti adalah Suara Keadilan, sebelum dihalang penerbitan kita antara 120,000 hingga 130,000 naskhah yang akhirnya membataskan proses sebaran berhubung pemilihan parti,” ujar Saifuddin.

Syed Husin juga menggariskan kekurangan itu sebagai antara sebab mengapa rendahnya kadar keluar mengundi.

“Kalau hendak menghubungi menggunakan kaedah surat-menyurat, ia akan menelan kos yang tinggi, dianggarkan boleh cecah RM200,000... kami tidak mampu,” katanya.

Ujar Saifuddin, tahap kesedaran pengundi dalam PKR tidak adil sekiranya dibandingkan dengan tahap kesedaran rakyat di luar sana.

Ini kerana katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai lebih banyak medium komunikasi untuk menyuntik kesedaran mengundi di kalangan rakyat.

“Berbanding SPR yang boleh akses semua jenis media, dia (SPR) ada televisyen, dia ada radio, dia diberi ruang di semua akhbar dan boleh membuat pameran serta kempen secara terbuka untuk mencipta kesedaran,” ujar Saifuddin.

Lanjutan dari masalah komunikasi tersebut, Saifuddin berkata tentunya menyebabkan anggota parti lebih berminat untuk berpartisipasi dengan pemilihan peringkat cabang berbanding peringkat pusat.

Kata Ahli Parlimen Machang itu lagi, pengundian peringkat cabang yang menggalakkan ekoran akar umbi parti kenal dengan calon-calon yang bertanding.

“Pemilihan di peringkat cabang itu lebih dekat dengan mereka, mereka lebih kenal pemimpin-pemimpin peringkat cabang berbanding pemimpin peringkat pusat,” ujar Saifuddin.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khalid Jaafar pula berkata, sistem pengundian PKR tetap terbaik berbanding sistem perwakilan yang digunakan oleh parti-parti lain walaupun peratusan mengundi kurang adalah kecil.

“Ia (sistem pengundian PKR) lebih baik dari sistem perwakilan parti-parti lain yang mungkin disertai 1,500 perwakilan sahaja,” katanya.

Melihat pada fenomena anggota turun mengundi yang rendah, Syed Husin dan Saifuddin mencadangkan pindaan perlembagaan dilakukan supaya proses pemilihan peringkat cabang dan pusat boleh dilangsungkan serentak.

“Pengundi sudah mengundi peringkat cabang, kemudian nak mengundi pula di peringkat pusat, kalau diserentakkan anggota keluar mengundi mungkin sama (seperti musim pengundian peringkat cabang) tinggi,” jelas Syed Husin.

“Saya cenderung terima cadangan itu kerana amalan yang sedia ada yang digunakan parti sekarang menuntut kita melakukan proses penamaan sehingga proses pengundian dua kali,” ujar Saifuddin.

Khalid pula berpendapat bahawa sistem pengundian yang sedia ada tidak perlu dipinda agar pemilihan peringkat cabang dan pusat diserentakkan.

“Di Amerika Syarikat masyarakat demokrasi bukan mengundi lima tahun sekali, kejap pemilihan datuk bandar, kejap pemilihan anggota kongres, kejap pemilihan presiden.

“Pemilihan peringkat cabang setahun, peringkat pusat pun setahun kerana parti sentiasa segar dengan semangat demokratik sehingga pilihan raya umum ke-13,” jelas Khalid.

Proses pengundian pada minggu ketiga iaitu 13 dan 14 November lalu yang membabitkan cabang Kapar, Kota Raja dan Klang — antara bahagian yang mempunyai pengundi teramai, turut menyaksikan kurang 10 peratus keluar mengundi.

Pemimpin PAS, rakan seanggota mereka juga mempertahankan PKR dalam hal ini.

Apabila diajukan persoalan yang sama, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak wajar merumuskan sistem pemilihan langsung julung kali diperkenalkan oleh PKR itu sebagai gagal.

“Saya tidak menganggap ia sebagai satu proses yang gagal, sudah tentu ada banyak cabaran,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena dari PAS, komponen Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR.

Mahfuz berkata seperti dalam mana-mana program dan sistem, pemilihan secara langsung memerlukan masa untuk menjadi mantap dan diuji sebagai pendekatan yang berjaya.

Bagaimanapun beliau mengakui PKR boleh mempertimbangkan kemungkinan meminda tatacara pemilihan.

“Bagi saya banyak cabaran. Kalau orang merasakan kena keluar mengundi dua kali (cabang dan pusat), banyak karenah sebab mereka merasakan untuk keluar mengundi dua kali sebagai satu beban. Lebih baik biar mengundi sekali sahaja,” katanya.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...