Jumaat, 26 November 2010

Teks Ucapan Perasmian Kongres Wanita dan AMK oleh Syed Hussin Ali


Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Selamat Pagi.

Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan kita semua berjumpa sekali lagi dalam Kongres Wanita, Angkatan Muda dan Nasional Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Jikalau pada Kongres-kongres yang lalu saya mempunyai hanya satu perasaan, iaitu gembira, pada pagi ini saya merasa gembira bercampur sedih. Saya sedih kerana ini ialah kali terakhir saya berucap untuk merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda.
Ini hasil pilihan saya sendiri.

Saya telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden. Ada kawan-kawan berkata inilah sebenarnya punca kekecohan yang berlaku dalam pemilihan Parti. Saya percaya jikalau saya pertahan jawatan pun, kekecohan mungkin berlaku juga seandai pelakon utamanya serupa.

TUGAS UTAMA

Sebagaimana saudara saudari maklum, saya telah diberi penghormatan dan kepercayaan menjadi Timbalan Presiden sejak 2003. Saya akui selama itu tidaklah banyak saya lakukan. Saya jarang turun padang, melawat Negeri dan Cabang. Tugas yang saya lakukan banyak di Pejabat. Saya cuba berada di situ hampir setiap hari kerja.

Saya melayan segera sebanyak mana panggilan telefon, kiriman emel atau sms. Saya bersedia menemui siapa saja untuk membincangkan masalah organisasi Parti. Saya cuba menyelesaikan setakat yang termampu. Kerja-kerja “low profile” yang tiada “glamour” ini perlu dilakukan.

Saya mengetahui tugas-tugas ini yang tiada unsur sensasi tidak menarik perhatian media. Ia juga tidak membuka peluang untuk menjadi lebih terkenal dan popular. Namun ia lebih sesuai dengan usia dan kebolehan saya. Misalnya, saya sedar tidak begitu petah dan lancar berpidato dalam ceramah-ceramah umum. Oleh itu saya serahkan tugas ini kepada mereka yang lebih bertenaga dan lebih berbakat melakukannya.

Saya sedar ini acapkali juga menimbulkan kekecewaan dan salah faham kepada sesetengah anggota dan Cabang. Saya ketahui juga ia mengakibatkan sesetengah pihak berpendapat saya tidak efektif. Saya meminta maaf jikalau ini benar. Namun saya tidak pernah menyesal menumpu kepada kerja-kerja di pejabat yang bukan “high profile” itu.

SEKELUMIT SEJARAH

Saya sebenarnya tidak berhajat untuk bercerita tentang diri atau membela diri sendiri. Dalam ucapan kali ini saya ingin membawa saudara saudari sejarah lalu yang melibatkan Parti. Sejarah merupakan guru terbaik untuk menunjuk kita ke jalan masa hadapan yang hendak diterokai. Saya akan berbicara secara umum dan tidak memfokus kepada Wanita dan AMK.

Saya percaya kedua-dua sayap boleh mengambil iktibar sendiri daripadanya.
Kita semua masih ingat jelas peristiwa Sdr Anwar disingkir dari jawatan tingginya, Kemudian beliau serta isteri dan anak-anak kecilnya diaibkan melalui media. Akhirnya beliau dihukum penjara secara tidak adil. Peristiwa ini mengejutkan seluruh rakyat dan masyarakat, termasuk anggota-anggota Umno sendiri. Ia juga menimbulkan kemarahan kepada pimpinan dan keanggotaan Parti Rakyat Malaysia yang saya pimpin waktu itu.

Sebelum Anwar dipenjarakan saya serta beberapa orang pemimpin PRM sempat bertemu dan berbincang dengan beliau tentang masa depan rakyat dan negara. Angkatan Pemuda PRM juga berbincang dengannya. Bahkan merekalah yang mula-mula menggesa kuat supaya Anwar keluar dari rumah dan menjelajah ke seluruh negara menerangkan kesnya.

Semasa Anwar dalam penjara ADIL dan kemudian keADILan ditubuhkan. Beliau sempat bersurat-menyurat dengan saya beberapa kali. Dari situlah timbulnya saranan tentang perlunya PRM dengan keADILan bergabung tenaga. Walaupun kami tidak dapat bertemu muka sebab dipisahkan tembok penjara, namun Anwar dan saya bersatu hati dan tekad terhadap tujuan ini.

Saya telah mengemukakan saranan ini kepada Jawatankuasa Pusat PRM, yang kemudian membentangkannya dalam Kongres PRM. Selepas membincangkannnya dalam dua Kongres, akhirnya disetujui dengan lebih tiga perempat undi untuk menerima konsep percantuman PRM dengan keADILan bagi menubuhkan Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KEADILAN). Disetujui juga untuk menutup PRM.

Timbul dua masalah ekoran dari ini. Pertama, sebilangan kecil anggota PRM menentang dan tidak mahu patuh kepada keputusan majoriti. Mereka memutuskan untuk meneruskan serpihan PRM. Dalam hal ini mereka dibantu oleh keputusan ROS dan mahkamah. Alhamdulillah, Presiden mereka, Hassan Karim sudah kembali ke pangkuan KEADILAN tahun lalu dan kini aktif di Johor.

Keduanya, di kalangan keADILan pula terdapat sebilangan kecil anggota dan juga pimpinan yang tidak menyetujui percantuman itu. Mereka ragu terhadap latar belakang “sosialis” PRM. Ada yang keluar dari Kongres keADILan di Kemaman dan menentang keputusan percantuman. Namun demikian, syukur kerana hampir semua mereka menerima hakikat dan terus bahu-membahu berusaha gigih untuk memupuk dan menguatkan KEADILAN.

Sekarang ini saya lihat KEADILAN berada dengan asas yang kukuh, walaupun masih terdapat banyak lagi kelemahan serta masalah. Dalam usianya yang pendek, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Namun Parti tidak berjaya diganggu gugat, sama ada dari dalam dan luar. Ia tetap berdiri kukuh. Saya yakin segala pengalaman yang dilalui – pahit, maung dan apatah lagi manis akan mematang dan memperkasakan lagi kita dan Parti kita.

KENAPA PERLU BERCANTUM?

Kenapakah kita semua bersetuju untuk menubuh dan memperkasakan Parti Keadilan Rakyat? Sungguhpun kita semua sudah mengetahui asasnya, namun saya merasa perlu kita mengingatkan diri mengenainya.

Pertama. Ramai rakyat marah dan kecewa terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap Sdr Anwar Ibrahim oleh PM Dr Mahathir. Pucuk pimpinan Kerajaan memperalatkan segala institusi – terutama media, mahkamah dan polis, untuk menghukum Anwar. Anwar melawan dengan berani dan tabah. Beliau muncul sebagai simbol penentangan terhadap kezaliman dan ketidakadilan.
Jikalau kezaliman dan ketidakadilan boleh diperlakukan ke atas seorang Timbalan Perdana Menteri tentulah lebih mudah lagi ia dikenakan ke atas rakyat biasa.

Oleh itu perlulah disatukan semua suara, semua emosi dan semua tindakan rakyat, di bawah pimpinan sebuah parti, mula-mulanya untuk membela Anwar. Ini merupakan hanya satu permulaan.

Kedua, tujuan pembentukan KEADILAN bukan hanya untuk membela nasib seorang insan yang dizalimi. Anwar menjadi lambang tentang apa dia jenis dan sejauh mana kezaliman yang boleh dilakukan oleh pemerintahan pimpinan Umno. Sebelum Anwar pun sudah berlaku banyak kezaliman terhadap rakyat yang tidak bersalah. Selepas Anwar dibimbangi ia boleh berlaku lebih buruk lagi.

Segala institusi penting di bawah kuatkuasa pemerintah disalahguna dan diperalat oleh segelintir pemimpin zalim. Mereka membuat apa saja bagi menekan penentangan demi mempertahan kedudukan mereka. Mereka mahu mempertahan kuasa supaya boleh dengan rakus terus merompak sumber kekayaan negara. Segala institusi yang mereka rosakkan dalam proses itu perlu dipulihkan. Reformasi menjadi penting. Maka itu perlu disatukan segala tenaga yang boleh disatukan untuk menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Ketiga. Matlamat akhirnya ialah untuk menyatukan seluruh tenaga – parti politik, pertubuhan lain dan individu yang mahukan perubahan. Mereka mahu melihat pemerintahan Umno-Bn yang zalim lagi tidak adil diganti. Mereka mahu menegakkan perubahan yang boleh mewujudkan pemerintahan baru yang lebih adil serta demokratik. Mereka mahukan pemerintahan yang telus dan sentiasa membela nasib rakyat ramai.

Setakat ini KEADILAN berjaya mencantumkan hanya dua buah Parti. PRM merupakan parti lama yang mempunyai tradisi perjuangan prorakyat. keADILan pula merupakan sebuah tenaga baru rakyat muda yang gigih mahu memperjuangan keadilan. KEADILAN jelas melambangkan percantuman di antara tenaga baru yang bertenaga dengan tenaga lama yang berpengalaman. Ia juga melambangkan wahana yang memperjuangankan keadilan dalam semua bidang – ekonomi, politik serta sosial, dan bersifat prorakyat.

Keempat. Percantuman belum dapat diwujudkan di kalangan semua parti yang menentang kezaliman dan ketidakadilan. Kita harap satu hari nanti ini dapat dicapai. Akan tetapi, buat ketika ini, atas inisiatif KEADILAN dan pimpinan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Haji Abdul Hadi Awang, telah dapat ditegakkan gabungan yang kita namakan PAKATAN. Gabungan ini mempunyai cita-cita serupa untuk menegakkan keadilan, kebenaran dan demokrasi.

Parti-parti dalam PAKATAN akan berjuang bersama untuk mewujudkan pemerintahan baru yang boleh membawa perubahan atau Reformasi. Mereka mempunyai dasar-dasar sendiri. Akan tetapi mereka bersetuju terdapat banyak asas persamaan bersama yang boleh mengukuhkan pergabungan dan kerjasama di antara mereka. PAKATAN semakin mantap dan terus berkembang. Masalah memang ada, akan tetapi usaha terus dijalankan untuk mengatasi segalanya melalui musyawarah dalaman dan bukan melalui kenyataan media.

GABUNGAN SEBELUM PAKATAN

Gabungan antara parti-parti politik untuk menghadapi musuh yang sama bukannya satu perkara baru. Semasa pemerintahan penjajah Inggeris, satu gabungan tenaga rakyat telah dibentuk bernama PUTERA-AMCJA. Tujuannya untuk menentang penjajahan dan memperjuangkan kemerdekaaan. Selepas Merdeka tercapai, telah dibentuk beberapa gabungan untuk menentang Perikatan dan kemudiannya Umno-Bn. Antaranya Fron Sosialis (SF), Harakah Keadilan (HAK), GAGASAN-APU dan Barisan Alternatif (BA).

Tidak lama selepas Merdeka, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad dan Dr Burhanuddin Helmy berusaha untuk mewujudkan sebuah gabungan di antara parti-parti yang mereka pimpin. Parti-parti tersebut ialah Partai Rakyat (PRM), Partai Buruh (PBM) dan Partai Islam SeMalaysia (PAS). Memang ada persefahaman di antara mereka bertiga ini untuk memimpin parti-parti berlainan dengan tujuan menggabung semua tenaga yang boleh digabungkan bagi menjatuhkan Perikatan.

Mereka melihat Perikatan begitu rapat dengan kuasa penjajah dan melanjutkan banyak saki baki dasar serta institusi penjajahan. Mereka menganggap Perikatan terlalu memihak kepada golongan atasan yang kaya raya, dan mirip kepada golongan serta sistem bercorak feudal dan kapitalis. Kita perlu ingat mereka ini pernah menjadi pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berjuang untuk kemerdekaan tulen dengan mengikis segala saki baki penjajahan.

Rancangan menggabungkan tiga-tiga parti ini gagal dicapai. Cuma PRM dan PBM saja yang berjaya membentuk Fron Sosialis. Namun kerjasama di antara SF dengan PAS sentiasa kuat untuk menghadapi Perikatan dalam pilihanraya-pilihanraya umum sejak 1959. Pada pilihanraya tahun itu mereka mendapat lebih banyak undi dari Perikatan dan berjaya memecahkan majoriti dua-pertiga Kerajaan dalam Parliamen.

Selain itu banyak majlis tempatan telah dimenangi dan dikuasai oleh SF di seluruh negara. Sebenarnya ini merupakan salah satu sebab kenapa pilihan raya untuk majlis tempatan akhirnya dimansuhkan oleh Kerajaan. Kerana kejayaannya Kerajaan cuba mematahkan pengaruh SF. Peluang ini tiba manakala Konfrontasi Indonesia berlaku. ISA digunakan untuk menahan beratus-ratus pemimpin dan anggota SF dan juga PAS. Selepas banyak cabangnya diharamkan LPM menutup jendela.

Gabungan terkemudian diketuai oleh Tengku Razaleigh, ketika itu memimpin Semangat Melayu 46 (SM46). Gabungan ini mempunyai dua entiti. Pertama, Gagasan Rakyat yang dikenali sebagai GAGASAN, terdiri dari SM46, DAP dan PRM. Kedua, Angkatan Perpaduan Ummah (APU), terdiri dari PAS dan SM46. Potensinya sangat besar. APU berjaya menawan Kelantan. Akan tetapi, GAGASAN kecundang, akibat salah satunya dari Peristiwa Sigah.

Dua hari sebelum hari mengundi pilihanraya 1990 Tengku Razaleigh ke Sabah. Masa itu Umno-Bn dalam keadaan gerun GAGASAN-APU boleh mengalahkannya. Angin perubahan bertiup kencang. Beliau ke sana atas undangan Pairin Kittingan yang menyatakan keinginan menyertai GAGASAN. Malangnya, semasa Tengku Razaleigh sampai, sejenis “tengkolok” tradisi Kadazan bernama Sigah diletakkan di atas kepalanya sebagai tanda penghormatan. Kebetulan pada sigah itu tertera lambang pucuk yang sedikit menyerupai “cross” (salib).

Media yang dikuasai Kerajaan memfokus kepada lambang ini. TV menyiarkannya berulang-ulang kali. Keesokannya pada hari Jumaat ribuan risalah , ditaburkan di masjid-masjid dengan gambar Tengku Razaleigh memakai sigah. Beliau dituduh sebagai agen Kristian. Bahkan disebarkan juga salinan surat yang konon dikirim oleh Pope, memuji beliau. Dalam sekelip mata sokongan kepada GAGASAN bertukar menjadi penentangan. Gabungan ini kalah.

Tidak lama kemudian GAGASAN retak dan akhirnya belah. Sebabnya bukan kerana apa-apa tekanan dari pihak pemerintahan. Sebaliknya telah berlaku perbezaan pandangan terutama di antara SM46 dengan DAP. Dasar dan Manifesto bersama tidak begitu kuat untuk mengikat mereka terus bekerjasama. Lagi pula, akhirnya SM46 telah mengambil keputusan untuk membubarkan diri dan sebahagian besar pemimpin dan anggotanya kembali kepada Umno.

Barisan Alternatif (BA) merupakan gabungan terakhir sebelum terbentuknya PAKATAN. Selepas Anwar disingkir, diaib dan dipenjara, PAS, DAP, PRM dan beberapa buah NGO bergabung tenaga dalam pertubuhan dinamakan GERAK. Tujuannya untuk menentang kezaliman, khususnya terhadap Anwar. Berikutan itu telah ditubuhkan Barisan Alternatif, terdiri dari keADILan, PAS, DAP dan PRM.

Kali ini wujud hanya satu gabungan. Allahyarham Fadhil Noor memainkan peranan penting untuk memastikan keutuhan dan kemantapan BA. Hasil gabungan ini, dalam pilihanraya 1999 hampir semua kawasan melihat pertandingan satu lawan satu. Prestasi parti-parti pembangkang bertambah baik. Namun semangat BA tidak dapat bertahan lama terutama selepas Fadhil Noor meninggal.

Telah timbul beberapa pertelingkahan terutama antara PAS dengan DAP tentang beberapa isu, terutama mengenai pentafsiran Addin. Konsep ini telah diterima bersama oleh BA dan dimasukkan ke dalam Manifesto. Akan tetapi tafsiran yang berlainan mengakibatkan keretakan.

Untuk menghadapi Pilihanraya 2004 tidak wujud gabungan yang mantap untuk menghadapi Umno-Bn. Mereka lebih bersatu di bawah pemimpin baru yang popular. Kelemahan perpaduan parti-parti luar kerajaan merupakan salah satu faktor tambahan yang membantu memberi kemenangan besar depada Umno-Bn.

Banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat ditimba dari gabungan atau kerjasama tenaga dalam gerakan untuk mengganti Umno-Bn dan membawa perubahan dalam pemerintahan. Saya lihat PAKATAN sekarang ini mempunyai banyak kekuatan yang tidak ada pada gabungan-gabungan sebelumnya.

Pertama, PAKATAN menyatukan parti-parti terbesar di luar pemerintahan sebagai hanya satu gabungan. Namun begitu ia harus menarik juga parti-parti kecil yang masih belum menyertainya, dengan syarat mereka menyokong penuh Dasar Pakatan Rakyat yang telah disetujui pada 19 Disember 2009 . Kini terdapat hanya satu gabungan yang boleh menjadi pilihan rakyat dalam pilihanraya akan datang.

Namun ada percubaan untuk membentuk apa yang disebut sebagai “Third Force”. Jika terbentuk, badan ini boleh memberi nafas kepada Umno-Bn. Ia akan juga menyulitkan PAKATAN untuk mencapai kemenangan besar. Perkara ini pelu ditangani dengan bijaksana.

Kedua, kerjasama dan persefahaman dalam PAKATAN sangat baik, terutama sekali di peringkat pimpinan Pusat. Apa yang patut diusahakan ialah memperkukuh kerjasama dan persefahaman di peringkat bawah di negeri-negeri dan di kawasan-kawasan Parlimen serta Dewan Negeri.

Selain itu harus digalakkan cara bertindak untuk kebaikan bersama dan bukan keuntungan satu-satu parti tertentu. Apatah lagi kepentingan persendirian pemimpin yang oportunis dan individualis. Segala program dan tindakan hendaklah ditujukan kepada menguatkan PAKATAN.

Ketiga, kerjasama di antara parti dan pemimpin dalam PAKATAN diperkuat oleh wujudnya empat kerajaan negeri yang dikuasai oleh gabungan ini. Semua parti dan pemimpin di negeri-negeri ini perlu bekerjasama rapat dan bekerja kuat untuk menarik kepercayaan dan sokongan rakyat. Prestasi mereka yang baik adalah sangat penting untuk memastikan kejayaan untuk PAKATAN berjaya ke Putrajaya. Dalam hal ini peranan serta prestasi Kerajaan Selangor adalah sangat penting bagi KEADILAN.

Tidak boleh dinafikan bahawa adalah menjadi tugas penting bagi Kerajaan-kerajaan negeri PAKATAN berusaha membela nasib rakyat ramai. Mereka tidak harus kelihatan bertindak apatah lagi memang bertindak untuk mendapat keuntungan diri sendiri dan suku-sakat.
Selain itu, perlu juga kerjasama yang rapat di antara kerajaan-kerajaan negeri untuk membela rakyat, menentang salahguna kuasa dan menghapuskan rasuah. Kerajaan Pusat dengan segala alat jenteranya sentiasa berusaha untuk memburuk dan memporak perandakan pentadbiran negeri-negeri PAKATAN.

PERPADUAN DALAM PARTI

Berpaling semula kepada keadaan Parti ada tiga perkara yang dari mula-mula menimbulkan masalah dalaman.

Pertama, anggota-anggota Parti terdiri dari beberapa golongan pemimpin dan anggota yang pernah aktif atau mempunyai kaitan dengan badan-badan berlainan. Yang penting antaranya ialah: (i) Umno, (ii) PRM, (iii) ABIM, (iv) JIM, (v) Ngo-ngo lain, dan (vi) mereka yang tidak pernah ada kaitan dengan badan-badan tersebut. Sebenarnya KEADILAN menyerupai parti pelangi (rainbow party) yang mempunyai pelbagai warna.

Anggota-anggota Parti mempunyai latarbelakang berlainan; mereka mempunyai orientasi politik yang berbeza-beza.

Sehingga sekarang ada di antara mereka yang masih terbawa-bawa oleh pengaruh lama mereka. Bahkan masih ada, walaupun bilangannya sangat kecil, yang menimbulkan syak wasangka atau permusuhan dengan membangkitkan latarbelakang tertentu. Masalah besarnya ialah bagaimana hendak memupuk kesedaran bahawa kita semua, walau dari manapun asalnya, sekarang adalah anggota KEADILAN.

Kedua, dari segi kaum dan agama pula anggota-anggota Parti mempunyai banyak kelainan. Pada permulaannya majoriti anggota adalah Melayu dengan hanya segelintir Cina dan India. Akan tetapi setelah kebangkitan Hindraf, orang India menderu masuk. Orang Cina datang beransur-ansur.

Kini kita dapati lebih 50 peratus anggota terdiri dari Melayu, hampir 30 peratus India, hampir 20 peratus Cina dan lebih 10 peratus Iban, Kadazan dan lain-lain dari Sabah dan Sarawak. Masalahnya ialah macamana hendak mengikis sikap perkauman sempit yang masih ada di kalangan sebahagian kecil saja. Parti pelbagai kaum adalah eksperimen baru KEADILAN. Masalah yang dihadapi banyak.

Ketiga, anggota-anggota kita juga terdiri dari orang yang berbeza kedudukan ekonomi dan pangkat. Walaupun begitu, bilangan mereka yang kaya dan berpangkat masih kecil sekali.

Akan tetapi bilangan serta pengaruh mereka mungkin boleh bertambah. Bilangan paling besar masih terdiri dari yang bependapatan atau berkedudukan sederhana dan mereka yang berpendapatan serta bertaraf rendah.

Masalahnya di sini ialah bagaimana hendak memastikan agar bilangan kecil yang berwang dan berpangkat tidak akan dapat menguasai Parti, dengan wang dan pangkat, untuk kepentingan mereka sendiri. Jikalau ini berlaku bahayanya ialah KEADILAN akan berkembang menjadi seperti Umno, terutama selepas mendapat kuasa.

MENANGANI MASALAH

Tiga masalah besar ini perlu ditangani. Apa dan bagaimana patut dilakukan? Sebagai langkah permulaan, untuk menghadapi kesemua masalah, Parti hendaklah mengadakan lebih banyak kursus politik bagi memahami dasar dan matlamat perjuangan Parti. Setiap anggota baru harus diberi kursus pengenalan tentang perjuangan Parti. Selepas itu perlulah diadakan kursus bertingkat-tingkat untuk pimpinan dan kader. Hal ini seringkali ditegas dan dicadangkan akan tetapi malangnya masih kurang sekali dilaksanakan.

Ada pihak mengatakan masalah KEADILAN ialah ia tidak mempunyai ideologi yang jelas. Oleh sebab sejarah dan komposisinya yang pelbagai KEADILAN belum dapat merumuskan ideologinya. Perlu ditegaskan ideologi bukan prasyarat yang wajib. Dan tidak ada gunanya kita mengambil saja satu ideologi dari luar dan kemudian memaksanya ke atas organisasi dan anggota.
Lebih baik, dalam keadaan sekarang, Parti mempunyai dasar atau program perjuangan yang luas tetapi jelas dan diterima, Ucapan difahami dan dihayati semua anggota. Ketika ini
KEADILAN mempunyai matlamat atau dasar perjuangan yang tegas, sebagaimna yang tercatat dalam Perlembagaan Parti. Ia sering juga dihuraikan dengan terang dalam ucapan-ucapan para pemimpin Parti.

Tujuh belas perkara dalam Fasal 5 Perlembagaan dan kenyataan serta ucapan pemimpin itu harus dihadamkan oleh setiap anggota dan dijadikan panduan untuk segala tindakan politik. Segalanya dapat dirumuskan kepada empat cita-cita atau visi Parti. Empat perkara yang harus diusahakan dan perlu dicapai ialah: (a) Keadilan untuk Semua, (b) Kepedulian Rakyat, (c) Perpaduan Negara-bangsa, dan (d) Kemurnian Moral serta Etika.

Keadilan untuk semua bererti hak mendapat layanan yang serupa tanpa mengira kaum, keturunan atau pangkat dan gender. Semua warga negara bertaraf sama di sisi undang-undang, seperti yang dirakam dalam Perlembagaan Persekutuan. Hendaklah dipastikan bahawa keadilan tidak dikecapi berbeza-beza kerana kekayaan atau pangkat, keturunan atau gender. Hendaklah keadilan tidak mejadi keistimewaan kepada segelintir kecil dari golongan atasan yang berkuasa dan kaya sahaja.

Untuk menjamin ini tidak berlaku, maka perlulah ada faktor Kepedulian Rakyat. Ertinya kita harus mengambil peduli atau mengambil berat akan nasib rakyat terbanyak, khusus mereka yang berpendapatan rendah. Kita harus mempedulikan mereka dengan tidak mengira kaum dan keturunan.

Seperti kita ketahui, bilangan terbesar dari golongan ini ialah orang Melayu/Bumiputera. Apabila kita mengambil peduli atau mengambil berat nasib rakyat terbanyak, yang paling mendapat faedah tentulah mereka. Akan tetapi kita tidak mengalpakan golongan kaum lain yang senasib.

Setelah lebih 50 tahun Merdeka, kita masih belum mempunyai sebuah Negara-bangsa yang bersatupadu. Sebaliknya bibit-bibit pertentangan dan perpecahan semakin ketara. Kita harus komited kepada agenda mewujudkan sebuah negara-bangsa yang padu. Kita mesti mengikis sentimen perkauman sempit dari diri kita. Ini satu permulaan yang wajib kita lakukan sebagai warga negara dan anggota Parti yang bertanggungjawab.

Selain itu, Parti perlu membela nasib semua kaum, terutama yang dari golongan bawahan. Parti mesti menyuarakan dan bertindak untuk kepentingan semua kaum. Parti penting menggalak dan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum. Dan Parti harus menguatkan perhubungan serta saling mengerti di antara sesama anggota kita. Ertinya, mesti diperkasakan semangat kekitaan (esprit de corp) dan perpaduan.

Parti hendaklah menggalakkan lebih banyak aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum. Biro-biro yang terdiri dari anggota-anggota satu kaum dan bergerak di kalangan satu kaum saja dan hanya membela kaum yang sama perlulah dikurangkan. Jikalau ada masalah satu komuniti yang didominasi oleh kaum tertentu, anggota-anggota dari semua kaum hendaklah disusun untuk membantu.

Memang benar, untuk memudahkan pengurusan dan interaksi, lebih baik ramai anggota dan kaum yang sama pergi. Akan tetapi, haruslah juga anggota dari kaum lain dibawa bersama. Dengan demikian lama kelamaan anggota-anggota dari satu kaum mudah berhubung dengan masyarakat kaum lain. Bahkan ini menggalakkan mereka saling memahami masalah, budaya dan nilai kaum lain di negara ini. Ini dapat membantu proses menjana persefahaman dan perpaduan Negara-bangsa

Selanjutnya, haruslah kita pupuk ketinggian serta kemurnian moral dan etika. Antara lain ini boleh dilakukan dengan menyerap nilai-nilai murni universal, yang terdapat pada semua agama, bagi kita yang berpegang kepada agama. Memupuk nilai moral dan etika yang luhur di kalangan kita sangat penting. Jikalau kita berjaya ke Putrajaya, Insha Allah, menjadi wajib bagi pemimpin-pemimpin kita bertindak dengan bermoral dan beretika. Mereka hendaklah juga berlaku adil dan tidak rasuah.

Selain itu jikalau kemurnian moral dan etika diserap, dipupuk dan diamalkan dalam masyarakat, kita boleh mengurangkan masalah-masalah sosial dan jenayah. Sekarang ini bermacam-macam maksiat berlaku. Bertambah banyak kita dengar bapa merogol anak dan bayi hasil hubungan haram dibuang. Hampir setiap hari kita mendengar tentang jenayah besar seperti pembunuhan dan perompakan.

Banyak faktor yang menyebabkannya. Yang penting kita mesti mengawal dan memagar diri dengan moral dan etika yang murni. Hanya dengan demikian baru boleh kita membantu
memerangi maksiat dan jenayah yang semakin meluas dalam masyarakat.

Sesuai dengan ini maka perlulah diadakan sebanyak mungkin bengkel, kursus, latihan serta kegiatan organisasi dan politik. Tujuannya hendaklah bagi merapatkan lagi hubungan antara anggota-anggota dari latar belakang berlainan. Keperluan mengadakan bengkel, kursus dan latihan ialah untuk menimbulkan kesedaran dan kekuatan organisasi dan perpaduan politik

Selanjutnya, apabila anggota-anggota sudah menerima, memahami dan menghayati dasar dan matlamat Parti sebenarnya, tidak mudah mereka dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti latar belakang pertubuhan asal, kaum dan juga kekayaan serta martabat.
MEMPERKASA PARTI

Saya merasa gembira dengan pencapaian Parti sehingga kini. Namun saya akui juga bahawa masih ada lagi kelemahan dan kekurangan. Mana gading yang tiada retaknya. Namun seboleh-boleh kita perlu mengatasinya dengan segera, sebaik mungkin dalam tempoh setahun akan datang. Parti mesti lebih mantap dan perkasa untuk menjamin kemenangan lebih besar dalam PRU13. Ini mustahak, lebih-lebih lagi kerana KEADILAN dianggap dan diterima sebagai ‘parti pemimpin’ dalam PAKATAN.

Bilangan anggota Parti perlu ditambah. Kuantiti saja tidak mencukupi, ia mesti diimbangi dengan kualiti. Mutu anggota perlu ditingkatkan dengan pemahaman dan penghayatan dasar perjuangan Parti. Semangat serta keazaman untuk berjuang gigih dan berkorban untuk Parti dan rakyat mesti sebati dalam hati sanubari anggota. Ucapan Disiplin mesti dikuatkan.
Bukan saja keputusan Parti harus dipatuhi bahkan perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan dalam Parti. Perbuatan mengkritik apatah lagi memburukkan Parti melalui media hendaklah dianggap sebagai pelanggaran disiplin yang serius. Kita perlu ikhlas kepada diri, ikhlas kepada anggota-anggota lain, ikhlas kepada pemimpin dan ikhlas kepada Parti.

Pemimpin Parti yang dipilih atau dilantik mesti menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana yang dijelaskan dalam Perlembgaan Parti. Mesyuarat mesti dihadiri, Aktiviti Parti perlu disertai. Mereka hendaklah bertugas sebagai satu pasukan dan memikul tanggungjawab bersama. Tidak ada alasan untuk bertindak, terutama sekali di luar Parti, mengikut gerak hati sendiri. Apatah lagi jikalau dilakukan secara liar dan tidak terkawal tanpa menghormati etika berjemaah.

Mereka yang menjadi wakil rakyat pula harus menjalankan tugas dengan penuh tanggung jawab. Saudara-saudari dilantik oleh rakyat untuk mewakili mereka dalam Parlimen atau Dewan Negeri. Sebagai wakil rakyat saudara saudari hendaklah selalu melawat rakyat untuk mendengar dan menyuarakan segala rintihan dan keluhan mereka.

Saudara saudari perlulah berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat. Wakil rakyat tidak boleh lupa daratan. Prestasi saudara saudari bukan saja boleh menentukan kalah menang diri sendiri bahkan, lebih penting lagi, prestasi Parti dalam PRU akan datang.

Syukur, bilangan wakil rakyat KEADILAN yang gagal memainkan peranan mereka dengan memuaskan tidaklah begitu ramai. Akan tetapi kadarnya lebih tinggi dari wakil-rakyat parti lain dalam PAKATAN. Masih ada lagi masa untuk saudara sudari berubah. Saya kira jikalau tidak juga berubah wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan memuaskan pasti tidak akan dipilih semula sebagai calon Parti. Bilangan anggota yang berkelayakan dan menunggu untuk mengganti mereka sekarang ini jauh lebih ramai.

Dari segi organisasi pula, terdapat sebilangan Cabang yang lemah. Cabang mesti berusaha kuat untuk menambah bilangan Ranting; sekurang-kurangnya satu pada setiap pusat mengundi. Cabang hendaklah mantap di bawah pimpinan yang padu. Anggota dan pimpinan Cabang hendaklah jangan membenar apatah lagi menggalakkan tendensi berpuak-puak. Tendensi ini hendaklah segera dipatahkah dari awal, tidak kira apa puncanya.

Mana-mana pimpinan Cabang tidak harus menyekat kemasukkan anggota baru semata-mata kerana hendak mempertahan kedudukan sendiri. Pimpinan Cabang hendaklah aktif menggerakkan cabangnya, dan sama sekali jangan cuba mensabotaj dengan membekukannya.

Sehubungan ini saya ingin menyentuh sedikit tentang kedudukan Wanita dan AMK. Sebenarnya hal-hal ini pernah saya sentuh sebelum ini. Kekuatan Parti pada masa ini bergantung kepada kekuatan wanita. Bilangan anggota wanita dalam Parti adalah besar sekali.

Begitu juga kekuatan Parti, terutama pada masa akan datang, bergantung kepada AMK. Oleh kerana itu banyak lagi kerja yang perlu diusahakan terutama oleh pimpinan baru yang berjaya dipilih. Saya meminta pimpinan kedua-dua sayap ini dengan segera duduk berbincang untuk menggariskan strategi dan jalan ke hadapan.

Saya berulangkali pernah menyatakan bahawa Wanita kelihatan lebih mantap susunannya dan lebih baik disiplinnya dari AMK. Namun demikian kelihatan jua Wanita tidak begitu inklusif. Pimpinan Wanita tidak begitu mencerminkan komposisi keanggotaan wanita dalam Parti, dari segi kaum dan latar belakang organisasi asal mereka.

Kini Wanita mempunyai hubungan rapat dengan sebuah NGO. Saya harap NGO ini dapat memperkuatkan Wanita dan bukan sebaliknya.

Susunan AMK masih lemah dan longgar. Banyak AMK di Cabang-cabang tertentu kurang bermaya dan hampir tidak bergerak. Kelihatan unsur berpuak-puak yang lebih buruk dari dalam Wanita. Unsur ini kena ditangani dengan selalu berbincang serta bermesyuarat. Akan tetapi tiada yang lebih baik dari membanyakkan kegiatan yang melibatkan semua pihak. Biasanya, apabila diadakan banyak aktiviti bersama dalam Parti dan di kalangan rakyat, maka masalah kelompok atau klik dapat dikurangkan bahkan diatasi sepenuhnya.

Satu lagi masalah adalah berkaitan dengan hubungan organisasi, khususnya pimpinan, di antara Wanita dan AMK dengan Pusat dan lebih-lebih lagi dengan Cabang. Wanita dan AMK adalah sayap Parti. Mereka sebahagian dari organisasi Pusat dan Cabang. Oleh itu mereka tidak boleh dianggap dan tidak patut bertindak sebagai parti dalam Parti ataupun dalam Cabang.

Memang benar ada aktiviti-aktiviti yang boleh dan harus dijalankan sendiri oleh Wanita dan AMK di peringkat Pusat dan Cabang. Akan tetapi mesti selalu ada permuafakatan dan penyelarasan. Dengan cara demikian barulah dapat diperkukuh lagi perpaduan organisasi Parti.

MENGHADAPI SERANGAN LUAR

KEADILAN yang tersusun, mantap, padu dan kuat dari segi politik dan organisasi adalah penting. Hanya dengan demikian baru kita boleh menangkis segala serangan dari luar. Sekarang ini KEADILAN dan tokoh utamanya, Anwar Ibrahim, menghadapi bermacam-macam rancangan dan percubaan untuk melemah dan memporak perandakan. Puncanya, Kerajaan zalim dan korup sekarang takut kepada kemungkinan rakyat akan memilih PAKATAN ke Putrajaya dalam PRU13.

KEADILAN selalu didakwa sebagai parti paling lemah dalam PAKATAN. Mungkin benar kerana ia paling muda dan baru sekarang mengalami segala perit getir yang dilalui lebih awal oleh PAS dan DAP untuk menjadi lebih kuat. Namun musuh-musuh kita, terutama pimpinan Umno menyedari KEADILAN memainkan peranan besar untuk menguatkan PAKATAN. KEADILAN melalui Anwar berjaya menyatukan dan memantapkan PAKATAN. Itulah sebabnya sasaran musuh kini ditumpukan terhadap KEADILAN dan Anwar.

Kita telah melihat bagaimana angin kemenangan GAGASAN-APU dulu beralih arah setelah Tengku Razaleigh dituduh sebagai ajen Kristian. Kini, pemimpin-pemimpin Umno cuba menggunakan taktik lama. Kepada orang Melayu mereka menuduh Anwar talibarut Cina. Di hadapan orang bukan Melayu, terutama Cina, dia ditohmah sebagai ekstremis Melayu dan Islam.

Media dan individu-individu tertentu sambut menyambut mendendangkan lagu sumbang selah dalam orkestra kokak, menuntut Anwar meletakkan jawatan. Mereka tiada hak. Anggota-anggota Parti melalui wakil-wakil mereka dalam Kongres seperti inilah yang berhak menentukan kedudukan Ketua Umum kita . Saya percaya Kongres kali ini pasti akan memberikan sokongan seratus peratus kepadanya.

Selain itu mereka meneruskan fitnah kedua tentang liwat. Mereka membuat tuduhan dan fitnah bertubi-tubi melalui vcd yang terus mereka sebar dan media yang mereka kuasai. Ketara sekali pihak berkuasa dengan rakus memperalat media, mahkamah dan polis untuk menghukum Anwar. Walaupun demikian, Alhamdulillah rakyat ramai yang tidak mempercayai dakwaan dan fitnah itu.Semoga Allah membenarkan yang benar dan menghukum mereka yang zalim. Kita sebagai anggota Parti mesti sentiasa menegakkan keadilan serta kebenaran dan menentang kezaliman serta kebatilan.

Minggu lalu Parti kita selesai melaksanakan proses pemilihan demokratik yang memberikan setiap anggota satu undi untuk memilih pemimpin di peringkat Cabang dan Pusat. Ini merupakan inisiatif pertama yang dijalankan oleh parti politik di negara ini dan mungkin juga yang terunik di seluruh dunia.

Kita mengakui memang ada beberapa masalah dan sedikit kelemahan. Maklum saja kerana kita menerokai jalan yang baru. Akan tetapi ini digunakan satu dua kerat calon yang tidak puas hati serta mempunyai agenda sendiri kerana nampak mereka akan menghadapi kekalahan. Mereka telah mengecam dan memburukkan bukan saja badan yang mengelola pemilihan bahkan juga pemimpin-pemimpin Parti. Walaupun ada tuduhan mereka menggunakan politik wang, saya tidak mahu percaya selagi tidak ada bukti yang sahih.

“Semoga Allah membenarkan yang benar dan menghukum mereka yang zalim. Kita sebagai anggota Parti mesti sentiasa menegakkan keadilan serta kebenaran dan menentang kezaliman serta kebatilan.”“Parti kita selesai melaksanakan proses pemilihan demokratik yang memberikan setiap anggota satu undi untuk memilih pemimpin di peringkat Cabang dan Pusat. Ini merupakan inisiatif pertama yang dijalankan oleh parti politik di negara ini dan mungkin juga yang terunik di seluruh dunia.”

Segala kecaman dan tuduhan mereka dibuat di luar saluran dan proses Parti, khususnya melalui media musuh. Secara sedar atau tidak sedar mereka menjadi alat bukan saja kepada media tersebut bahkan juga parti-parti lawan yang memang dari mula hendak mencalarkan imej Parti. Secara objektifnya mereka seperti musuh dalam selimut. Syukur, dengan perbuatan sendiri, musuh-musuh dalam selimut mendedahkan mendedahkan diri mereka. Lama kelamaan mereka menggantung diri dengan tali sendiri.

Peristiwa ini tidak meninggalkan kesan besar. Pada jangka panjang Parti boleh memulihkan keadaan. Salah satu akibatnya ialah menimbulkan lagi puak-puak dalam Parti. Kita mesti menyembuhkan segala luka. Kalau boleh kita hilangkan semua parutnya. Kita lupakan apa yang berlaku.. Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum semula. Buaya lalu, maaf, biduk lalu kiambang bertaut. Kita mesti bersatu semula. Yang pergi biarlah pergi. Yang gantung diri biarlah mati. Kita perlu menguatkan perpaduan dan bergerak sederap menuju Putrajaya.

AKHIR KALAM

Sebagai penutup kata, saya minta ampun dan maaf kerana segala kekurangan dan kesilapan saya sepanjang saya bertugas sebagai Timbalan Presiden. Saya kira, dalam ucapan hari ini saya telah meninggalkan pesan yang saya rasakan perlu. Saya berharap dan berdoa agar Wanita, Angkatan dan Parti Keadilan Rakyat seluruhnya akan berkembang lebih besar dan menjadi lebih kuat.

Ingatlah, setiap kita memegang amanah dari rakyat dan juga Allah. Kita hendaklah menjalankan segala tugas dengan penuh tanggungjawab untuk kebajikan rakyat terbanyak, bukan untuk kepentingan diri. Kita harus melakukannya dengan penuh keikhlasan.

Akhirnya, izinkan saya menutup ucapan dengan dua rangkap pantun.

Tuah Jebat dua pahlawan
Diingat bangsa sepanjang zaman
Lawan tetap kita lawan
Selagi wujud kezaliman

Parti kita pelbagai kaum
Dipimpin Azizah serta Anwar
Pastikan nama menjadi harum
Kita pejuang Keadilan sebenar

Sekarang, dengan lafaz basmalah, saya rasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat. Selamat bersidang.

Reformasi!

Hidup Rakyat!

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...