Sabtu, 7 April 2018

Laporan Polis Terhadap Kenyataan Serius Ketua Bahagian Umno sahkan PDRM dan SPRM boleh digunakan untuk tujuan politik




Kenyataan Media
7 April 2018

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan (SAMMWP) hari ini tampil untuk membuat satu laporan polis terhadap kenyataan Datuk Rizalman Mokhtar dalam satu sidang media pada 3 April 2018 yang harus menjadi perhatian pihak berkuasa.

Dalam sidang media tersebut, Datuk Rizalman yang merupakan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak telah mengakui dialah Datuk dan Ketua Bahagian yang tersebar di media ditahan pada jam 2 pagi sebelumnya di sebuah pusat hiburan mewah dan didapati positif dadah. Selain menafikan pengambilan sebarang dadah dan hanya meminum kopi sahaja, dia dengan tegas menyatakan apa yang dihadapinya adalah satu 'sabotaj' kerana kedudukan dan pendirian politiknya.

Kenyataan Rizalman dalam sidang media tersebut menyatakan SPRM dan PDRM hanya menyerbu bilik dia dan langsung tidak 'menjengok bilik mewah lain' dan terus membuat saringan air kencing kemudian dengan pantas membawanya ke IPD Dang Wangi boleh disifatkan sebagai dia cuba menyatakan bahawa SPRM dan PDRM merupakan agensi yang terlibat diperkudakan sebagai alat mensabotaj dia. Rizalman turut tidak menafikan pertanyaan wartawan apabila ditanya adakah dia disabotaj ini ada kena mengena dengan perebutan kerusi MCA dan Umno yang melibatkan Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

Ini satu tuduhan serius yang harus diambil perhatian dan tindakan yang juga serius. SAMMWP mendesak satu siasatan bebas harus dibuat termasuk perlunya satu Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat kenyataan Rizalman. Apa yang berlaku sebenarnya Ketua Umno Bahagian sendiri mengesahkan bahawa sememangnya PDRM dan SPRM boleh diperkudakan untuk tujuan politik. Sekiranya dakwaan Rizalman ini benar maka yang bertanggungjawab harus diseret ke muka pengadilan dan nama SPRM serta PDRM wajib dibersihkan.

Kenyataan Datuk Rizalman ini ternyata memberikan imej buruk kepada dua agensi yang seharusnya bukan sahaja bertindak telus dan adil malah perlu dilihat telus dan adil. Integriti PDRM dan SPRM tercalar teruk. Jika kenyataan Rizalman menipu dan gagal dibuktikan, dia sendiri perlu dihukum. Jangan hanya kerana dia berpangkat Datuk, orang kaya dan Ketua Bahagian Umno dia boleh membuat apa juga kenyataan dan kemudian dilindungi.

Justeru hari ini SAMM Wilayah Persekutuan hadir di sini untuk membuat laporan polis di atas perkara seperti yang telah dinyatakan. SAMMWP juga akan bertindak menghantar memorandum ke Istana Negara bagi merafak sembah menuntut campur tangan DYMM Di Pertuan Agong dalam membentuk satu jawatankuasa khas ataupun Suruhanjaya Di Raja bagi mengembalikan integeriti SPRM dan PDRM.

Azmir Hj Mustafa
Penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
0122231239


Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...