KUALA TRENGGANU - Kempen pilihanraya kecil Kuala Trengganu kini masuk hari yang ketiga, berbagai insiden menarik, panas dan melucukan dapat disaksikan berlaku. Kami sempat melalui beberapa lokasi ceramah yang disampaikan oleh para pemimpin baik UMNO dan BN mahupun PAS atau Pakatan Rakyat. Semuanya kini berusaha untuk memenangi hati rakyat di Kuala Trengganu. Sama seperti di tempat lain, tatkala musim pilihanraya kecil berlangsung maka orang tempatan akan menikmati "durian runtuh" serta berbagai "imbuhan kemewahan duniawi". Ini adalah kezaliman yang berlaku serta "gagal" untuk dihalang oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Lambakan projek pembangunan terus dicurahkan, pendek kata jalanraya yang selama ini berlopak dan berdebu kini boleh diminta "tar" sehingga ke depan pintu rumah. Menteri pusat mula melakukan berbagai kebajikan untuk rakyat. Terbaru Mat Taib, Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO menyatakan bahawa kementeriannya meluluskan serta merta peruntukan RM200,000 untuk memperbaiki sebuah jalan disitu. Bertuah benarlah rakyat Kuala Trengganu kini. Mereka "ditatang bagai minyak yang penuh". Segala apa yang dihajati pasti akan "terkabul". Wang bukan lagi segalanya, tetapi kuasa adalah wang. Sama ada perkara ini boleh diterima atau tidak inilah yang amat memusykilkan puak-puak UMNO dan BN sebenarnya.
Apakah rakyat Trengganu sudah mula bijak?. Apakah mereka boleh terima isu bersihnya Najib Razak dari kes Altantunya, pembatalan pengambialihan IJN oleh Sime Darby, pemberiaan semula wang royalti bagi menggantikan wang ehsan, pembinaan dan janji-janji manis yang ditabur oleh pemimpin kerajaan sejak mutakhir ini?. Atau mungkin juga mereka sebijak rakyat Kelantan "orghe bagi ambik, tapi pangkoh PAS". Jika ini berlaku, maka kami dapat melihat bahawa BN akan tersungkur sebenarnya di Kuala Trengganu. Senario yang jelas dapat dilihat bermula pada hari pencalonan lagi. Kini telah mula merebak ke lokasi-lokasi ceramah umum yang diadakan. Majoriti rakyat akan hadir ke ceramah Pakatan Rakyat berbanding dengan program anjuran UMNO dan Barisan Nasional. Inilah yang amat digusarkan sangat oleh mereka. Namun, perjalanan masih jauh lagi. Detik 17 Januari sebenarnya bakal membuktikan serta menyaksikan perubahan sebenarnya yang bakal berlaku di Trengganu. Undi Pos khabarnya akan dijalankan dalam minggu ini, dimana lebi 1,000 kertas undi posakan diedarkan. Apakah undi pos juga akan berpihak kepada PAS kali ini. Segalanya berkemungkinan, bak kata Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pahang Dato' Fauzi Abdul Rahman dalam satu pertemuan dengan kakitangan kerajaan di Trengganu baru-baru ini. Beliau menyaksikan bahawa kakitangan kerajaan yang bakal mengundi di Kuala Trengganu sudah "bijak" dan mula sedar atas segala "kebobrokan" yang berlaku dalam kerajaan hari ini.
Apakah undi pos yang biasanya akan menjadi penentu kemenangan BN itu akan berpihak kepada PAS?. Segalanya berkemungkinan sebenarnya. Inilah yang berlaku kepada Parlimen Indera Mahkota di Pahang dalam pilihanraya umum ke-12 lalu. Majoriti undi pos yang kebanyakannya dari Kem TLDM Tanjung Gelang dekat Kuantan memberi undi kepada Pakatan Rakyat. Akibatnya PAS menang di DUN Beserah dan PKR menang di Parlimen Indera Mahkota. Ianya satu keputusan yang cukup diluar jangkaan. Kertas undi pos memihak kepada pembangkang hingga menyebabkan pemimpin tertinggi TLDM Tg.Gelang ditukarkan 24 jam selepas itu. Apakah ini bakal terjadi kepada kertas undi pos di Kuala Trengganu pula?. Angin perubahan sudah semakin terasa kini. Hanya takdir yang bakal menentukan siapa yang menang dan siapa yang akan kalah. Namun kelibat calon bebas, Azharuddin Mamat jangan dipinggirkan. Masih kita ingat dalam pilihanraya umum lalu, calon PAS Mat Sabu ditewaskan dengan kemenangan tipis BN semata-mata. Ia akibat campurtangan nenek tua yang dikenali sebagai "Tok Mun" (foto) untuk mencuba nasib dan mahu mencipta sejarah pilihanraya di Malaysia sejak sekian lama. Kami mendapat laporan dari kroni dalam UMNO dan BN, sebenarnya Tok Mun bukan mengeluarkan wang sendiri untuk belanja pilihanraya dulu. Wang itu adalah "sogokan" daripada UMNO sendiri. Beliau diberi peruntukan RM30,000 oleh UMNO untuk menjadi calon bebas. Wang itu diserahkan oleh pemimpi UMNO dari Pahang dalam satu program "Tahlil" di rumah beliau sebelum pilihanraya umum yang lalu.
Calon PAS (Mohd Abdul Wahid), BN (Datuk wan Farid) dan Bebas (Azharuddin Mamat) selepas penamaan calon di Stadium Negeri 6 Januari lalu.Kesimpulannya, melihat senario yang berlaku di Kuala Trengganu buat masa ini. Ramai yang meramalkan PAS akan menang dengan majoriti yang lebih besar kali ini. Harus diingat daripada empat DUN yang terdapat dalam parlimen Kuala Trengganu hanya satu sahaja yang dimiliki oleh BN, selebihnya oleh PAS sendiri. Bahkan, calon PAS yang bertanding pula ialah ADUN Wakaf Mempelam yang sudah lima tahun menjadi "Wakil Rakyat" di kawasan ini. Khidmatnya semakin terserlah tatkala menjadi Exco Kerajaan Negeri Trengganu dizaman pentadbiran PAS satu ketika dulu. Maka itu harapan cerah untuk melihat YB Mohd Abdul Wahid Endut membenamkan keegoan Datuk Wan Farid di Kuala Trengganu semakin menampakkan tanda-tandanya. Ditambah lagi dengan masalah dalaman UMNO sendiri yang kini semakin panas dengan isu politik wangnya, perpecahan wanita dan pemudanya serta lain-lain. Ramai yang dilihat menjadikan pilihanraya kecil ini sebagai medan untuk berkempen menjelang pemilihan UMNO Mac nanti. Justeru itulah kita tidak hairan jika BN tumbang di Kuala Trengganu. Ini kerana "Timing" yang berlaku sekarang adalah masa yang paling tepat untuk mencipta kejayaan. Cuma taktik "jahat" dan "kotor" sahaja yang bakal mengangkat mereka ke puncak kejayaan dan seterusnya memenangi pilihanraya kecil ini.
Cuma apa yang ditakutkan sangat sekarang ialah "provokasi" yang akan dilakukan oleh BN kiranya mereka melihat harapan kian pudar. Jika ini berlaku maka sedikit masalah akan timbul nanti. Nama baik PAS dan Pakatan Rakyat akan sedikit tercemar dan SPR boleh melakukan apa sahaja untuk menakutka serta membatalkan keputusan sebenar. Itu belum ditambah lagi dengan "sikap curiga" kita terhadap "kem sementara" pasukan polis yang didirikan dengan "gahnya" di situ. Pemantauan kami kini terdapat lebih dari satu "kem sementara" yang didirikan khemah tertutup dan dikawal rapi oleh mereka. Soalnya disini, mengapakah khemah yang serba "canggih siap berhawa dingin" itu didirikan?. Mengapakah terlalu ramai anggota polis dikerahkan ke Kuala Trengganu. Kita musykil seandainya khemah-khemah itulah yang akan menjadi "Transit Port" para pengundi hantu menjelang malam pengundian nanti. Jika perkara ini gagal dipantau, sudah pasti ia akan berlaku dengan sewenang-wenangnya. Tambahan pula orang awam dilarang masuk ke kawasan terbabit. Ini memungkinkan, keselematan "pengundi hantu" akan lebih terjaga dari kebiasaannya. Maka, kami sekali lagi menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk memantau perkara ini hingga malam pengundian nanti. Jangan kerana kelekaan kita, akhirnya mereka yang tidak sepatutnya menang diangkat pula nanti. Apapun, teruskan perjuangan buat semua rakan dan sahabat yang sedang sibuk berkempen di Kuala Trengganu.
[Kami mengucapkan syabas kepada semua penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di Kuala Trengganiu yan cukup berdisplin dan berkhemah dalam usaha meraih undi. Kami juga mendapat laporan dari sahabat dalam UMNO bahawa terdapat penyokong PAS yang "mencium" tangan Menteri Besar Pahang tatkala beliau melalui kesesakan jalan pada hari pencalonan baru-baru ini. Menurut sahabat dalam blognya "Small Talk" Peristiwa ini berlaku semasa mereka dalam perjalanan ke pusat penamaan calon lebih kurang pukul 8.30 pagi. Semasa melalui jalan yang dipenuhi penyokong Pas, MB pahang itu telah membuka tingkap dan bermesra dengan penyokong-penyokong Pas hinggalah salah seorang dari mereka bersalam dan mencium tangan Dato' Seri Adnan Yaakob. Inilah satu sikap mesra yang ditunjukkan oleh para penyokong PAS dan Pakatan Rakyat sebenarnya. Ia mungkin kerana MB Pahang itu khabarnya pernah "mencium" tangan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Azizi Nik Mat, Menteri Besar Kelantan semasa pertemuan mereka dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ini. Maknanya, apa yang berlaku kepada MB Pahang itu adalah balasan akibat "sikap hormat dan respeknya" kepada Tuan Guru Nik Aziz selama ini. Semoga perkara iyang baik seperti ni akan terus berkekalan hendaknya].
dari pahangdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan