Khamis, 5 Februari 2009

4 Adun mengadap Sultan, MB dipanggil ke istana-malaysiakini

kemaskini 11:54pm Timbalan Perdana Menteri berkata Sultan Perak memanggil semua wakil rakyat BN dan tiga yang menyokongnya datang mengadap baginda berkaitan pembentukan kerajaan baru.

Tarikh belum dinyatakan.

"Terserah kepada Sultan Perak untuk membuat apa-apa keputusan. Tuanku akan mengumumkan perkara ini secepat mungkin," kata timbalan perdana menteri kepada media di bangunan Umno Perak selepas menghadap Sultan Azlan Shah setengah jam sebelumnya.

Najib hadir bersama 28 wakil rakyat BN dan juga tiga wakil bebas di Istana Kinta.

kemaskini 11:48pm Menteri Besar Perak dipanggil menghadap Sultan menjelang tengah hari ini, dipercayai berkaitan penyerahan kuasa kepada BN untuk pembentukan kerajaan baru.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin meninggalkan satu majlis bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Bagan Serai pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

kemaskini 11:00pm Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memasuki Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap dan mendapat perkenan Sultan Azlan Shah untuk Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak.

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi, dan sambil tersenyum, melambaikan tangan kepada wartawan tanpa berhenti di pintu masuk istana.

Bagaimanapun, beliau kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa BN negeri cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat Adun berkenaan menyokong BN secara terbuka.

Berikutan perkembangan tersebut, BN kini mempunyai 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pakatan juga 28 dengan tiga bekas Adun PKR dan DAP yang kini wakil rakyat bebas yang telah menyatakan sokongan kepada BN.

'Situasi tidak menentu'

Manakala Adun Bota, Nasarudin - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Selepas mengadap Sultan Perak, Najib akan mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Agenda utama mesyuarat tersebut dijangka adalah mengenai pemilihan calon untuk jawatan menteri besar yang baru.

Sebelum ini, Najib telah membatalkan satu majlisnya di Putrajaya pagi ini untuk berlepas ke Perak untuk mengadap Sultan Azlan Shah.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...