Rabu, 4 Februari 2009

Lebih baik adakah semula pilihan raya / Pakatan Rakyat-malaysiakini

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat berpendapat adalah lebih baik pilihan raya diadakan semula di negeri Perak bagi memberi peluang kepada rakyat memilih semula peneraju tampuk pimpinan negeri itu.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kekalutan politik yang berlaku di negeri itu perlu diselesaikan segera dengan memberikan peluang kepada rakyat memilih parti mana yang akan diberi mandat baru.

"Saya gembira jika ada pilihan raya semula...saya setuju jika (Dewan Undangan Negeri Perak) dibubarkan," katanya kepada pemberita di Kota Baharu ketika diminta mengulas kemelut politik yang berlaku di Perak ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Barisan Nasional (BN) berjaya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ekoran tindakan empat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.

Empat wakil rakyat itu terdiri ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), ADUN Jelapang, Hee Yit Foong daripada DAP, dan ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR tetapi kembali semula kepada Umno.

Walaupun BN dan Pakatan Rakyat kini masing-masing mempunyai 28 kerusi, BN boleh menubuhkan kerajaan di Perak apabila tiga wakil rakyat Bebas berkenaan telah memberi akuan untuk menyokong BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN.

Sebelum itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri hari ini tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Azlan Shah.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS lebih bersetuju pilihan raya mengejut diadakan di Perak dan yakin kemelut itu akan dapat diselesaikan dengan baik.

"Memang itu cara yang lebih baik berbanding ada (wakil rakyat) yang lompat-melompat (lompat parti) ni. Saya tak faham kenapa nak lompat-lompat (parti) ni, kalau kita nak cari majoriti dengan cara lompat tak payahlah buat pilihan raya," katanya.

Ketua Penerangan PKR dan juga anggota Parlimen Batu, Tian Chua berkata secara perlembagaan Mohammad Nizar masih lagi menjadi Menteri Besar Perak.

"Timbalan Perdana Menteri berkata BN dapat menubuhkan kerajaan tetapi kerajaan itu juga minoriti dan lemah. Ia bukan kerajaan yang stabil.

"Secara moral satu pilihan raya baru perlu diadakan untuk mendapatkan mandat dari rakyat," katanya ketika dihubungi.

Tian Chua berkata apa yang berlaku antara dua wakil rakyat PKR sebelum ini iaitu Jamaluddin dan Mohd Osman adalah masalah dalaman parti.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...