Rabu, 18 Februari 2009

Tindakan Exco bukti integriti Pakatan Rakyat-malaysiakini

BANDARAYA MELAKA – Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menawarkan diri meletakkan jawatan berikutan kontroversi gambar beliau tanpa pakaian jelas menunjukkan integritinya terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

Demikian menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Mohd Yusof Abdullah ketika diminta mengulas kontroversi yang melanda ADUN berkenaan.

"Tindakan itu jelas menunjukkan integritinya terhadap parti dan PR serta tidak mahu kemelut yang dihadapi menjejaskan parti dan kerajaan di mana dia berada sekarang.

"PR nyata tidak salah memilih seorang wakil seperti ini. Lagipun kesalahannya belum lagi terbukti dan masyarakat tidak boleh membuat penilaian awal," katanya.

Yusof juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang akan mengeksploitasi perkara ini dan membuat pelbagai kenyataan yang menunjukkan wakil PR bermoral rendah bertujuan menjatuhkan imej PR.

Namun beliau berkata, ia sedikit pun tidak akan mencalarkan imej PKR mahupun PR dan PKR sendiri menerima keputusan Elizabeth dengan lapang dada.

"PKR menghormati keputusan beliau dan bagi kami ia tindakan terhormat dan bijak berbanding ADUN atau Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO atau Barisan Nasional (BN) yang masih 'menempel' walaupun dilanda pelbagai isu dan salah laku.

Paling memalukan, mereka masih menagih kepercayaan dan sokongan rakyat walaupun diri mempunyai rekod tidak bersih," katanya.

Mohd Yusof berkata, PKR dan PR sangat mementingkan integriti di kalangan ahli-ahlinya di semua lapisan, sama ada di peringkat ADUN mahupun MT.

Beliau juga berharap siasatan yang telus dapat dilakukan pihak berkuasa terhadap dakwaan wujud gambar Elizabeth tanpa pakaian dan terpulang kepada masyarakat untuk menilainya.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...