Khamis, 26 Mac 2009

Siapa pun kepalai sayap, persoalan rasuah masih membelanggu Umno?-malaysiakini

Pemilihan di peringkat sayap-sayap Umno sudah diketahui, malah ada yang me nyifatkan satu keputusan yang agak mengejutkan dengan ramai muka baru membarisi ketiga-tiga sayap Umno.

Khairy Jamaluddin calon yang penuh 'kontroversi' kerana diberi amaran oleh Lembaga Disiplin berikutan dakwaan rasuah menang Ketua Pemuda menewaskan Dato' Mukriz Mahathir dan Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Sementara Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil menang besar selaku Ketua Wanita menewaskan 'iron lady', Dato' Seri Rafidah Aziz dengan jurang undi yang besar.

Di peringkat Puteri pula, ahli Parlimen Papar, Rosnah Abdul Rashid Sirlin menewaskan lima lagi calon lain termasuk saingan sengitnya, Dato' Shahaniza Shamsuddin.

Menyingkap kemenangan Khairy menewaskan saingan sengitnya Mukriz, beberapa penganalisis politik membayangkan perihal Pemuda Umno yang akan dibawa selepas ini.

Paling menarik, sebelum ini bekas calon KeADILan, Badrul Hisham Shaharin yang pernah menentang Khairy di Rembau pada pilihan raya umum ke-12 mengungkap bahawa jika Khairy menang, benarlah hipotesisnya bahawa ada 'deal' yang berlaku antara Ketua Pemuda Umno itu dengan orang penting yang akan menerajui Umno.

Sementara dalam sebuah forum televisyen swasta semalam, seorang panelis, Anis Yusal Yusof mengingatkan antaranya jika ini kehendak perwakilan Pemuda Umno maknanya ia juga akan menjadi bicara kepada semua pihak di pilihan raya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Anis Yusal membayangkan apa yang dikaitkan dengan Khairy sebelum ini menjadi bahan yang turut akan dibawa tidak kira oleh mana-mana pihak yang akan berkempen nanti.

Walaupun agak terkejut dengan kemenangan Khairy, namun kesemua panelis forum itu antaranya, Norizan Shariff dan Prof Hamidin masih mahu melihat apa sebenarnya mesej yang mahu ditampilkan perwakilan pemuda yang memilih Khairy.

Di peringkat Puteri pula, Anis Yusal positif dengan pemilihan Rosnah yang pernah dikenali sewaktu di Institut Integriti Malaysia.

Sementara membincangkan perihal rasuah yang membelenggu dalam Umno, Anis Yusal dengan tegas memberi peringatan bahawa apa juga bentuk politik wang ia adalah satu jenayah yang harus dipandang serius.

Menjadikan tindakan larangan bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno ke atas Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam sebagai contoh, Anis Yusal mengingatkan betapa masyarakat melihat Ali dikekalkan selaku penjawat kerajaan mengundang persoalan.

Perihal rasuah dalam pemilihan Umno bukan rahsia lagi, malah secara terang terangan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut jika siapa pun terpilih dalam Wanita, perihal rasuah tidak akan terlepas di antara dua calon Ketua Wanita.

Nah rakyat kini mempunyai persepsi bahawa terpilihnya Shahrizat tidak semestinya barisan kepimpinan 'muka baru' ini tidak terlepas dari rasuah.

Hanya kini yang kurang dibicarakan persoalan rasuah hanyalah jawatan Ketua Puteri Umno, walaupun mungkin dalaman sayap itumengetahui ada 'benda' yang berlaku.

Dari cerita seorang rakan Pemuda Umno yang hadir dalam pemilihan semalam, pemilihan Khairy tetap dilihat dengan penuh persoalan.

Tidak kesemua bicara penulis dengan rakan itu boleh diadaptasi dalam analisa ini namun, bicara beliau mengundang persoalan adakah apa yang ditohmah kepada Khairy selama ini termasuk perihal rasuah akan terus dibincangkan selepas ini?.

Kejadian sorak menyorak antara penyokong Khairy dengan Mukriz selepas pengumuman keputusan yang berlaku di luar dewan dan tuduh menuduh yang didakwa berlaku turut mengundang persoalan.

Rakan penulis menyingkap persoalan 'jika benar pemilihan Khairy diekori persoalan rasuah, maka kelompok yang kalah termasuk Mukriz dan Khir perlu melaporkan kepada Lembaga Disiplin untuk siasatan'.

Namun katanya jika Khairy benar-benar menang dengan bersih, pastinya tamparan hebat kepada Mukriz dan Khir yang sebelum ini mendominasi pencalonan di peringkat bahagian.

Khairy hanya calon yang terakhir yang layak bertanding jawatan Ketua Pemuda, dan dalam ucapannya semalam menantu Perdana Menteri itu mengingatkan perwakilan perihal yang dihadapinya sewaktu pencalonan sebelum ini.

Norizan Sharif dalam forum Awani Astro yang membincangkan ucapan penangguhan Khairy menyifatkan ucapan tersebut tidak berunsur menyatukan pemuda.

Tidak seperti ucapan Shahrizat yang jelas membuka mata perwakilan wanita agar bersatu kembali di bawah pentadbirannya.

Persoalannya, dengan kepimpinan yang diterjemahkan perwakilan yang memilih semalam adakah Umno yang terus dilihat sebagai parti yang bergelumang dengan rasuah ini mahu dilihat sedemikian selamanya?

Yang menariknya natijah dari pemilihan ini pastinya membuka satu lagi episod yang bakal diterjemahkan rakyat dalam pilihan raya kecil 7 April ini.

Sama ada jentera sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan berkempen di Batang Ai, Bukit Gantang dan Bukit Selambau akan diterima dengan imej yang dibawa nanti, atau sebaliknya kehadiran mereka akan membawa liabiliti kepada Umno.

Adakah persoalan rasuah akan terus membayangi Umno selepas ini, pastinya ramai yang menanti analisa bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad yang terpaksa menerima hakikat anaknya kalah dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno


!!" MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH ""!!
http://zulmamakpng.blogspot.com/
" LAWAN TETAP LAWAN...!!!!, SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT...!!! "

1 ulasan:

Anis Yusoff berkata...

Sdr. Zul,
Apa habag? baguih saya tengok blog ni. lebih-lebih lagi analisis tentang apa yang saya sebut tu. Kita kena berani bercakap benar walaupun kadang yang terkena tu kawan-kawan atau adik beradik kita. ni semua demi masa depan anak bangsa kita. keep it up. Salam

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...