Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin mencabar "Menteri Besar Mahkamah", Dr Zambry Abd Kadir supaya mengadap Sultan dan memohon perkenan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya beliau benar-benar anak jantan dan tidak bersembunyi di belakang pasukan keselamatan.
Beliau berkata demikian pada majlis ceramah dan taklimat yang diadakan di Wisma DAP malam semalam.
Nizar berkata beliau tidak menyalahkan pihak keselamatan kerana sedar mereka digunakan oleh Barisan Nasional untuk melakukan penindasan terhadap rakyat.
Tambah beliau lagi setiap kali pilihan raya kecil diadakan UMNO dan BN akan mengarahkan pihak keselamatan berkampung di kawasan tersebut sama ada di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang atau Bukit Selambau.
Tetapi peliknya apabila BN tidak bertanding di Penanti ternyata tidak ada polis di situ dan ini membuktikan pihak polis bekerja untuk UMNO dan BN.
"Ini jelas menunjukkan wang rakyat dihabiskan untuk BN bukannya untuk menjaga rakyat dan ketenteraman awam." Nizar berkata.
BN cukup cemburu dengan gabungan kemas dan mantap Pakatan Rakyat dan ia tidak sanggup melihat gagasan tersebut diterima oleh rakyat Perak.
"Di Perak sebelum ini kita tidak pernah nikmati perpaduan dan keharmonian antara bangsa-bangsa yang ada di Perak, namun dalam masa Pakatan Rakyat memerintah kita berjaya lahirkan masyarakat Perak yang saling menghormati, bertoleransi antara satu sama lain.
"Kita mahukan cucu cicit kita pada masa akan datang saling menghormati antara bangsa yang ada. Itulah yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Jika ini berterusan maka tidak ada peluang lagi bagi mereka." kata Menteri Besar lagi.
Tambah Nizar mahkamah rakyat adalah ruang yang terbaik untuk menyelesaikan krisis politik di Perak.
Majlis tersebut yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Nga Kor Ming juga turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khor Ham, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan ADUN-ADUN Pakatan Rakyat Perak.
Sebelum itu polis menahan 2 orang di luar Wisma DAP kerana dipercayai ingin hadir ke majlis yang diadakan semalam.
Seorang daripada yang ditahan adalah ahli majlis perbandaran Taiping, Simon Uthaya Kumar a/l Sellaiyah sementara seorang lagi dikenali sebagai Haridats. Difahamkan mereka berdua telah dibawa ke balai polis yang berdekatan untuk disoal siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan