KUALA TERENGGANU - Kompleks Akuatik Terengganu yang terletak di Batu Burok, dekat sini, menempatkan kolam renang yang dikenal pasti sebagai projek ‘merbahaya’ serta boleh mengancam keselamatan orang awam.
Ia adalah antara tiga projek mega yang akan disiasat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) atas arahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said selepas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh, pada 2 Jun 2009 lalu.
Tiga belas buah gerai makanan dan minuman yang dibina di sisi Kompleks Akuatik terletak dibawah kolam renang, merupakan kawasan paling berisiko.
Tinjauan Buletinonline, ke kawasan tersebut mendapati bahagian belakang gerai terbabit digenangi air.
(Gambar - 13 gerai makan yang dibangunkan di sisi kolam renang dalam keadaan bahaya - Video di dalam)
Para peniaga yang mengusahakan gerai-gerai berkenaan mendakwa, air yang bertakung itu adalah air dari kolam renang yang meresap turun melalui dinding.
Encik Abdul Rashid Abdul Wahab, 44, (gambar) berkata gerai-gerai berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak bulan April lalu.
Menurutnya, pada awal perniagaan tidak terdapat tanda-tanda ‘kecacatan’ (rosak) tetapi ia berlaku sejak sebulan lalu.
“Saya bimbang juga sejak sebulan ini terdapat limpahan air yang meresap masuk memenuhi ruang kaki lima di belakang gerai kami.
“Saya yakin dan percaya itu air limpahan dari kolam renang yang berada di atas gerai kami yang sedang menjalankan perniagaan ini,” ujarnya kepada Buletinonline, semalam.
Beliau menggesa kerajaan negeri segera menyiasat serta memaklumkan status keselamatan bangunan kepada para peniaga di sini.
Katanya, kebimbangan jika berlaku kejadian yang tidak diingini seperti bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, pada 2 Jun lalu.
Seorang peniaga lain, Cik Siti Hajar Nadia, 23, berkata mula-mula menjalankan perniagaan tidak berlaku limpahan air tersebut.
Katanya, sekarang semakin ketara dan membimbangkan para peniaga di gerai terbabit.
“Saya minta pihak kerajaan atau yang bertanggungjawab segera melihat masalah ini sebelum terjadi sesuatu,” ujarnya.
Beliau yang menjalankan perniagaan makanan dan minuman berasaskan ‘seafood’ (makanan laut) turut menggesa supaya kerajaan membuat perisytiharan segera berkaitan status keselamatan kawasan berkenaan.
!!" MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH ""!!
http://zulmamakpng.blogspot.
" LAWAN TETAP LAWAN...!!!!, SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT...!!! "
Tiada ulasan:
Catat Ulasan