Rabu, 16 Disember 2009

13 Anggota CC MCA Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Naib presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai adalah antara 13 anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu hari ini menyerahkan surat peletakan jawatan untuk membolehkan pemilihan semula parti itu diadakan.

Surat peletakan jawatan masing-masing, yang tidak bertarih itu, diserahkan kepada Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng di bangunan Parlimen di sini.

Mengikut peraturan parti, Setiausaha Agung MCA akan meletakkan tarikh berkuatkuasa peletakan jawatan itu apabila menerima surat peletakan jawatan daripada dua-pertiga anggota CC atau 21 orang.

Liow, yang juga Menteri Kesihatan, berkata tindakan itu perlu untuk menyelesaikan segera krisis dalaman parti itu.

"Masa dah semakin suntuk, jadi krisis ini perlu diselesaikan segera. Kita dipilih oleh perwakilan dan kita letak masa depan kita kepada perwakilan dan saya percaya ia akan dapat menyelesaikan masalah dalaman MCA selain dapat menyatukan semula anggota MCA.

"Kalau berpanjangan ia akan memberi kesan buruk kepada parti dalam mendapatkan sokongan rakyat. Pemilihan baru adalah jalan keluar yang terbaik untuk menyelesaikan masalah," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Turut melakukan tindakan sama ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung, Datuk Wong Mook Leong, Tan Kok Hong, Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai and Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

"Kini, kita hanya perlu lapan lagi untuk memenuhi syarat dua pertiga jawatankuasa CC meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan baru diadakan," kata Liow.

Ditanya adakah pemilihan baru MCA itu diadakan setelah mendapat desakan daripada pimpinan Barisan Nasional (BN), Liow berkata ia adalah kehendak ahli.

"Kita dalam MCA telah bermesyuarat dan mengadakan perbincangan bahawa kita perlukan pemilihan semula. Untuk itu, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa panel pemilihan untuk membincangkan perkara ini secara terperinci. Kita telah bermesyuarat sebanyak dua kali," katanya.

Wong, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara, memberitahu pemberita bahawa pemilihan baru parti memerlukan sekurang-kurangnya 21 daripada 30 anggota jawatankuasa pusat parti meletak jawatan.

"Buat masa ini kita akan simpan dulu surat peletakan jawatan ini di ibu pejabat MCA dan kita akan tunggu sehingga 25 Dis ini sama ada masih ada anggota jawatankuasa pusat yang berhasrat untuk meletak jawatan," katanya.

Wong Mook Leong, yang merupakan veteran parti itu, menyifatkan kemelut dalaman MCA adalah antara yang terburuk dan beliau menyerah kepada perwakilan untuk menentukan masa depan parti itu.

"Kita dapat lihat MCA dalam keadaan kucar-kacir. Saya tidak pernah meletak mana-mana jawatan sejak menjadi anggota jawatankuasa pusat sejak 32 tahun lepas. Saya dipilih oleh delegasi dan mereka akan menentukan nasib saya," katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bagaimanapun enggan mengulas mengenai tindakan Liow dan 12 anggota CC parti itu meletakkan jawatan.

Ketika ditemui pemberita pada majlis penerimaan unit pertama set tren elektrik pertama (ETS) di stesen kereta api Kuala Lumpur, beliau sekadar berkata: "Sini tak ada Liow. Sini ada ETS dan KTM sahaja."

-- BERNAMA


'UMNO PERASUAH 1 Malaysia... Pembohong seluruh rakyat Malaysia’

™ kaasiii peecaaahhh laaaaaa........®

!!" MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH "!!
http://zulmamakpng.blogspot.com/
!!!.. LAWAN TETAP LAWAN...!!!!, SUARA RAKYAT, SUARA KERAMAT...!!!

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...