KATA pepatah Melayu, 'jika tiada angin masakan pohon bergoyang'. Dalam pepatah Melayu moden, ayat itu diubah sesuai dengan ungkapan 'jika tiada beruk, masakan pokok bergoncang'.
Dalam terjemahan lain pepatah ini disebut sebagai 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok.'
Pepatah moden ini dipinjam dari seorang tokoh politik muda, sewaktu beliau berkuasa satu ketika dahulu. Ayat ini ditujukan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang amat lantang mengkritik kepimpinan PM waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ayat 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok ini', merujuk kepada gangguan terhadap seseorang pemimpin atau sesebuah organisasi. Orang yang menggugat kestabilan seseorang atau sesebuah organisasi, dilabel dengan gelaran beruk.
Istilah beruk dalam politik Malaysia bukannya baru. Ia sudah lama diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang pernah menerbitkan cerpen satira politik bertajuk Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail.
Kepada siapa gelaran beruk itu dirujuk, atau mengapa beruk dijadikan modal politik bukan persoalan yang hendak dibahaskan sekarang.
Persoalan yang hendak dilontarkan penulis, dengan meminjam pepatah Melayu moden, 'beruk-beruk manakah' yang menggoncangkan pokok pemuda Umno, sehinga kedudukan ketua nya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bergoyang?
Bukan goyang sikit-sikit, tetapi bergoyang macam dipukul ribut, sehingga ada desas desus mengatakan, di kalangan exco pemuda Umno mahukan Khairy meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda, kerana didakwa tidak efektif.
Pemuda Umno menunjukkan 'jalan keluar' kepada Khairy, bukan semata-mata kerana beliau tidak efektif. Soal efektif atau efisyen seseorang dalam menjalankan tugas, tidak penting dalam Umno.
Untuk mengelak persepsi negatif terhadapnya, Khairy membuat kenyataan politik, menafikan wujudnya masalah dalam pemuda Umno.
Namun, pergeseran dengan beberapa orang exco pemuda, khususnya Hishamuddin Yahya, jelas menunjukkan beliau tidak mendapat kepercayaan dari kalangan exconya sendiri.
Lebih parah lagi mereka dikatakan memberikan tekanan hebat, dengan mendesak Khairy meletakkan jawatan ketua pemuda.
Khairy seharusnya memahami, mengapa Umno sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi. Hakikat ini memang wujud. Bukan kerana Khairy dikecam anggota exconya. Indikator yang paling besar bahawa Umno tidak mengkehendaki beliau ialah, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak melantiknya ke sebarang jawatan dalam kerajaan.
Sebelum ini ada laporan mengatakan, Khairy tidak diberikan jawatan, kerana Najib mahu beliau menumpukan tugas mempertingkatkan sokongan golongan muda terhadap Umno.
Ini semua alasan politik semata-mata. Sengaja hendak mencari 'excuse' untuk tidak menjatuhkan 'air muka' Khairy dan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Najib sudah menunjukkan pendiriannya dengan jelas. Dalam pertemuan pemuda Umno di Putrajaya, 18 Februari lepas. Najib enggan memberikan komitmen untuk melantik Khairy dalam kabinetnya, walaupun ada suara yang mahu beliau diberikan jawatan.
Khairy seharusnya memahami mengapa Najib enggan melantik beliau. Pertamanya, sudah tentu pelantikan Khairy akan dibidas Dr Mahathir. Semua orang tahu Mahathir memang betul-betul anti dengan Khairy. Najib tidak berani lantik Khairy kerana takut diserang Mahathir.
Faktor kedua, barangkali ada kebenarannya cakap-cakap dalam Umno, wujud kerenggangan antara Abdullah dengan Najib dahulu, antaranya berpunca daripada Khairy, dan perkara ini mendorong ramai kalangan penyokong Najib tidak menerima kehadiran Khairy.
Najib sudah menunjukkan sikapnya dengan jelas terhadap Khairy, sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai PM ke-6, beliau menamakan Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri.
Lebih jelas lagi apabila beliau melantik Dato' Mukhriz Mahathir yang kalah dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan ketua pemuda Umno, sebagai Timbalan Menteri juga.
Khairy tidak dilantik apa-apa jawatan. Nasib Khairy sama dengan nasib Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1993 yang lalu.
Zahid tidak dilantik sebarang jawatan kerana beliau dikenali sebagai 'budak Anwar' (bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang dikatakan banyak mengkritik PM Mahathir ketika itu. Zahid tidak dilantik kerana tidak disenangi Mahathir.
Jadi dalam kes Khairy ini, apakah tidak mungkin, Najib enggan melantik Khairy dalam kabinetnya, kerana Najib tidak menyenangi Khairy? Khairy bukan setakat budak, malah menantu kepada bekas PM, Abdullah.
Soalnya, kita tidak harus lupakan sejarah politik Umno pada tahun 1998, iaitu, wujud persepsi di kalangan penyokong Najib, bahawa yang sebenarnya layak menjadi TPM selepas Anwar disingkirkan ialah Najib, kerana Najib adalah Naib Presiden Umno yang memenangi undi paling tinggi dalam pemilihan Umno.
Mereka beranggapan tindakan Mahathir melantik Abdullah, sudah melambatkan peluang Najib menjadi PM, sejak Mahathir meletakkan jawatan pada bulan November 2003 hingga April 2009.
Perkara ini diakui Mahathir sendiri. Acapkali beliau menyatakan kekesalannya melantik Abdullah menjadi PM. Kebencian Mahathir dan termasuk puak Najib, terhadap Abdullah ketika itu disekalikan dengan kebencian terhadap Khairy.
Bukan soal Khairy tidak layak menjadi ketua pemuda atau anggota kabinet. Soal yang besarnya ialah, Khairy memulakan karier politiknya dengan cara yang tidak disenangi oleh orang-orang Umno.
Apabila wujud bad background ini, laluan Khairy untuk melonjak dalam politik Umno tidak akan mudah. Khairy melalui keadaan yang amat sukar sebenarnya.
Masalahnya Khairy dilihat begitu 'arrogant' sejak bapa mertuanya menjadi TPM dan PM ke-5.
Barangkali sifat Khairy tidak begitu, tetapi kedudukannya yang dekat dengan tampuk kekuasaan, menjadikan persepsi orang Umno terhadapnya, sedemikian rupa.
Menjadi lebih bermasalah kepada Khairy, bukan sekadar puak-puak dalam Umno ini tidak menyukai Abdullah dan beliau sahaja. Malah, segala anak beranak, rakan taulan dan kroni-kroninya, semua sekali hendak 'dibakul sampahkan'.
Orang Umno sendiri yang membangkitkan betapa kemarahan mereka terhadap abang ipar Khairy, Dato' Kamaludin Abdullah, kroni-kroni di New Straits Times seperti Dato' Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Brendan Pereira. Turut dikaitkan ialah Dato' Patrick Lim atau Patrick Badawi.
Dari sudut sektor korporat, sebelum kejatuhan Abdullah, Khairy dan kroni dikaitkan dengan syarikat Scomi, ECM-Libra, Equine Capital dan juga penganjur pertandingan Monsoon Cup.
Itu belum masuk isu politik. Bagaimana 'geramnya' orang-orang Umno yang anti Khairy, terhadap langkah-langkah politik Khairy sebelum menang jawatan ketua pemuda. Malah semasa menjadi naib ketua, Khairy di'boo' beberapa kali dalam perhimpunan agung umno.
Jika hendak disenaraikan terlalu banyak tuduhan orang Umno terhadap Khairy. Terlalu banyak alasan untuk mereka tidak menerima Khairy dalam Umno lagi.
Penulis tidak berhasrat untuk mengkritik Khairy, tetapi fakta-fakta yang dipaparkan ini, atau yang dikatakan bad background inilah sebenarnya, yang mendorong exco pemuda Umno, berani mendesaknya meletakkan jawatan.
Bad background inilah sebenarnya yang bakal mempercepatkan kejatuhan Khairy dan susur galur politiknya tercatat dalam hikayat Melayu moden.
Untuk menyimpulkan kedudukan politik Khairy, penulis memetik perbualan telefon dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.
"Hai, Rashidi, apa khabar," ujar Guan Eng menelefon penulis.
"Hai CM (Chief Minister), saya ok," balas penulis.
"Saya nak beritahu you, saya tengah bengang sekarang ini," katanya.
"You bengang dengan siapa pulak, Utusan (Utusan Malaysia) lagi ke?" soal penulis.
"Bukan, bukan. Itu Utusan satu hal, sekarang saya bengang dengan Khairy. Saya mahu bagi penjelasan pada dia pasal isu Maulid. Dia ada cakap dia mahu penjelasan. Jadi saya call dia. Tapi saya call dia beberapa kali, dia tidak jawab. Lepas itu saya guna satu saluran untuk reach (dapatkan) dia. Itu orang cakap, dia sudah beritahu, dia cakap Khairy tahu saya call, nanti dia akan call balik. Tapi sampai sekarang dia tiada call," ujar Guan Eng panjang lebar.
"Tak payah call dia lah, dia mesti tak mahu cakap dengan you punya," kata penulis.
"Ya lah, saya ingat pun dia tak berani mahu cakap dengan saya. Saya hanya mahu bagi penjelasan saja. Saya mahu dia faham ini semua fitnah," katanya.
"Haiya, kalau itu macam penatlah kerja CM, semua orang hantam you mahu kasi call, biarlah dia," usik penulis.
"Haiya, saya pun hairanlah, apa ini ketua pemuda. Saya ingat dia 'miskin' la. Tak faham kerja kerajaan. Ini pasal (kerana) dia belum jadi Menteri, Timbalan Menteri. Apa ini Oxford (Universiti Oxford) punya orang, saya ingat dia profesional, tapi tak profesional," rungut Guan Eng.
"Tak apalah CM, nanti dia senang-senang dia call you lah. Orang politik selalu itu macam," balas penulis.
"Ha, ha, ha," kami sama-sama ketawa.
Apa pun Khairy harus sedar bahawa sudah tiada tempatnya dalam Umno. Lambat laun, beliau terpaksa keluar juga, sama ada secara paksa atau dikalahkan dengan cara yang amat memalukan dalam perhimpunan agung Umno akan datang.
Keranda politiknya sedang dipersiapkan oleh golongan penentang, hanya menunggu ketukan paku terakhir sahaja.;-Mohd Rashidi Hassan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan