KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menegaskan beliau sanggup bersumpah bercakap benar sekiranya ada pihak yang menuduhnya berbohong mengenai pendedahan 16 September 2008 seperti yang dirancang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil alih Kerajaan Pusat.
Menurutnya, tindakan beliau mendedahkan perkara tersebut kerana mahu rakyat mengetahui perkara sebenar dan melihat kembali kenapa beliau bertindak keluar parti bukan hanya hilang kepercayaan tetapi mendakwa Anwar berbohong kepada wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR).
"Saya percaya selepas ini lebih ramai wakil rakyat PR akan bertindak keluar kerana mereka tidak berpuas-hati dengan kepimpinan dan terkejut dengan pendedahan yang dibuat.
“Mereka tidak nafikan peristiwa 16 September seperti yang saya cakapkan kerana perkara ini benar-benar terjadi. Saya mencabar mereka juga bersumpah menafikan apa yang saya cakap sebagai tidak benar,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Dalam pada itu, Zahrain mendedahkan terdapat ramai wakil rakyat PR tidak mengetahui perkara itu kerana mereka terlalu percaya dengan apa sahaja yang diperkatakan oleh Anwar.
“Ini semua rancangan Ketua PR, ramai tidak tahu kerana ramai menjadi ‘pak turut’ sahaja, yang tahu perkara ini hanya 2-3 kerat pemimpin dalam parti-parti PR. Saya tahu kerana saya rakan Anwar, saya tahu apa yang berlaku,” katanya.
Selain itu, Zahrain turut menjelaskan rakyat menaruh harapan yang amat tinggi kepada PR dan harapan tersebut seharusnya tidak disia-siakan kerana rakyat amat marah kepada UMNO-Barisan Nasional (BN).
“PR banyak menang kerana kelemahan BN sendiri bukannya sebab PR hebat, semua pihak harus tahu PR adalah alternatif kepada BN, inilah senario politik sebenar di Malaysia sekarang,” katanya.
Mengenai dakwaan mengatakan beliau ‘tentera upahan BN’, Zahrain berkata, PR boleh buat pelbagai tuduhan sesuka-hati mereka.
“Saya hairan kenapa pemimpin utama parti boleh menuduh orang lain dengan pelbagai tuduhan murah seperti itu? Mereka boleh buat tuduhan apa pun,” katanya.
Sementara itu, Zahrain turut membidas kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan kenapa baru sekarang beliau mendedahkan perkara sebenar mengenai peristiwa 16 September setelah hampir dua tahun berlalu.
“Saya tidak dedahkan awal-awal dahulu kerana saya ahli parti PKR, saya masih menghormati undang-undang parti, tetapi sekarang saya bebas, jadi saya dedahkan perkara ini sekarang,” katanya.
1 ulasan:
Salam Zahrain!
Ni...kata nak jadi bebas nak pertahan kan Melayu,nak pertahankan Islam....ajak NGO bersama.....mana dia?,cakap kat road show lain,kat Parliamen pula lain,...bebas apa nama?...masuk je UMNO...senang cerita,jangan dok berselindong...jadi hipokrit sepanjang masa,orang UMNO B Baru juga meluat tengok gelagat U,dah jadi dua saluran..wang untuk B Baru.
Catat Ulasan