Khamis, 14 Oktober 2010

Akuan sumpah Rahimi: Dua Exco AMK disiasat



KUALA LUMPUR, 13 Okt – Dua Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) diambil keterangan oleh polis berhubung laporan dibuat pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahiam, Rahimi Osman mendakwa dia dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah dua tahun lalu.

Amizuddin Ahmat dan Zulkifli Ibrahim berada di Bukit Aman kira-kira setengah jam bermula 4.30 petang tadi.

“Soalan yang ditanya berkisar dakwaan bahawa Rahimi dikurung... kami mengambil sikap tidak menjawab sebahagian soalan, tetapi kami berpendirian bahawa kami tidak kurung Rahimi atau melarikan Rahimi sebgaimana dikatakan dalam akuan bersumpah,” katanya ketika dihubungi petang ini.

Katanya, pihaknya tidak pasti akan dipanggil semula polis berhubung isu ini.

Baru-baru ini, Rahimi mendakwa beliau dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 bagi mempertahankan Anwar daripada pertuduhan liwat serta mengaitkan Najib dan isterinya dalam kes itu.

Dalam pada itu, bekas pembantu am kepada Anwar, yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung satu akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008.

Rasid Rosdi, 31, dalam satu kenyataan yang dihantarkannya melalui e-mel hari ini berkata beliau membuat laporan polis itu kerana mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya itu dilakukan secara paksaan dan dalam keadaan tertekan.

Rasid yang merupakan bekas banduan dan mengaku mengenali Anwar semasa dalam penjara berkata pada malam 28 Jun, 2008, selepas Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis berhubung dakwaan diliwat Anwar, dirinya telah dipanggil ke sebuah hotel di Shah Alam dan ditahan serta dikawal rapi selama beberapa hari.

“Saya dipaksa oleh Latheefa Koya (Ketua Penerangan PKR) untuk menandatangani satu akuan bersumpah sedangkan saya tidak pernah mengarang atau membuat akuan bersumpah tersebut.

“Saya juga tidak bersetuju dengan kandungan akuan bersumpah tersebut dan Latheefa tidak pernah menceritakan kepada saya mengenainya serta saya tidak memahaminya seratus-peratus,” dakwanya dipetik Bernama.

Rasid mendakwa beliau menurunkan tandatangan pada akuan bersumpah itu kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.

Beliau berkata langkah membuat laporan polis itu diambil selepas melihat Rahimi yang terlebih dahulu membuat tindakan sama di IPD Klang Selatan pada 6 Oktober lepas.

“Selepas melihat Rahimi saya terpanggil untuk membetulkan keadaan. Saya juga telah membuat satu akuan bersumpah yang baru bagi menceritakan perkara yang sebenar.

“Namun saya tidak boleh mendedahkannya kerana saya juga risau jika ianya boleh menganggu perbicaraan mana-mana kes di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada Rasid dan berkata laporan itu akan dirujuk ke Bukit Aman.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong mendakwa wujudnya konspirasi oleh pihak tertentu untuk mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Anwar.

Perkara ini, menurut Wee, jelas terbukti apabila kandungan surat akuan bersumpah pertama yang ditandatangani bekas setiausaha sulit Anwar, Rahimi pada 29 Jun 2008, langsung tidak mengaitkan sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) sebagai terlibat dalam laporan polis Saiful, berhubung kes liwat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akuan bersumpah kedua yang ditandatangani Rahimi, kandungannya telah dipinda dan cuba mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes itu.

“Saya telah diminta menjadi ‘pesuruhjaya sumpah’ pada akuan bersumpah pertama Muhamad Rahimi, dan saya boleh mengatakan 100 peratus dalam surat pertama yang dikatakan oleh pihak tertentu telah hilang, kandungannya tidak menuduh sesiapapun (Najib ataupun Rosmah) terlibat dalam laporan polis Saiful,” katanya pada sidang akhba di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengenai akuan bersumpah kedua, Wee menafikan ia ditandatangani pada hari yang sama dengan akuan bersumpah, sebaliknya beberapa hari kemudian, tanpa kehadiran beliau.


lagi cerita berkaitan klik disini

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...