Jumaat, 1 Oktober 2010

Henti mengkritik sesama calon, Ambil sikap neutral - Manikavasagam

Manikavasagam PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR S Manikavasagam hari ini mengeluarkan kenyataan yang pedas bercampur nasihat mengenai "perang mulut" yang berlaku sesama anggota parti terutama mereka yang bertanding untuk jawatan tinggi.

Beliau menasihat Naib Presiden Dr Lee Boon Chye supaya mengambil sikap neutral dan berhenti dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan bernada serangan terhadap calon-calon lain, termasuk serangan ke atas Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Dato’ Zaid Ibrahim.

"Dr Lee mesti sedar bahawa beliau juga dalam pertandingan untuk merebut jawatan tinggi dalam parti dan beliau tidak harus dilihat sebagai menjalankan kempen untuk meraih undi dengan memperlekeh orang lain," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam Dr Lee mengeluarkan kenyataan membidas Zaid kerana mengkritik parti sendiri dalam satu wawancara eksklusif yang tersiar dalam akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia Ahad lalu.

Mengenai pemilihan parti di peringkat Cabang yang sedang berlangsung, beliau berkata, "saya rasa parti dan ahli-ahli jawatankuasanya gagal untuk menegak prinsip asas demokrasi iaitu dengan mengadakan pemilihan yang bebas dan adil.

"Walaupun saya menjangkakan terdapat beberapa masalah timbul ekoran dari mengendalikan pilihan raya bercorak baru ’satu ahli satu undi’, saya merasa sedih apabila mendapat tahu keseluruhan proses pemilihan telah dicemari oleh anasir-anasir tertentu," katanya.

Manikavasagam yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata, "saya berharap parti dapat mententeramkan keadaan bagi menghadapi pemilihan Cabang pada hujung minggu ini supaya parti kita tidak menjadi bahan ketawa di negara ini.

"Saya menyeru semua pihak supaya mengendalikan pemilihan ini dengan bersih dan adil. Kita tidak seharusnya mengkritik Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai cara mereka mengendalikan pilihan raya-pilihan raya di negara ini apabila kita sendiri tidak dapat melaksanakan tugas itu dengan baik," ujar beliau.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...