Jumaat, 27 November 2020

Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi

 



KENYATAAN MEDIA

27 November 2020


Semalam Parlimen menyaksikan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 lulus di peringkat dasar, dan seterusnya akan memasuki perbahasan peringkat jawatankuasa bermula Isnin, 30 November ini sehingga undian terakhir pada 15 Disember kelak.

Semestinya rakyat Malaysia terutama dari kalangan yang cukup terkesan akibat kehilangan kerja atau pendapatan menerima baik pengumuman Menteri Kewangan tersebut beserta peruntukan tambahan bagi Sabah, golongan nelayan dan petani, petugas barisan hadapan COVID-19 dan para pekerja yang mengharapkan bantuan segera.

Walaupun rakan-rakan khususnya YB Lim Guan Eng dan YB Mohamad Sabu merasakan perlu dibuat undi belah bahagi pada waktu itu, saya telah membuat keputusan sebagai Ketua Pembangkang serta Pengerusi Pakatan Harapan untuk meminta ketua-ketua whip parti pembangkang tidak berbuat demikian. Ini supaya Ahli-Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman Menteri Kewangan. 

Ahli-Ahli Parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana Kementerian lain, apakah jumlah sebenar Belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi. Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti. 

Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang.

Perlu saya nyatakan di sini bahawa dalam sejarah perjalanan Parlimen Malaysia belum pernah suatu belanjawan dipinda dengan jumlah atau dengan cara seperti ini. Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan (precedent) Parlimen.


ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...