Semua ADUN kini masing-masing boleh memohon untuk mendapatkan satu permit AP untuk mengimport kereta ke negara ini.
Dengan itu, mereka kini menyertai ahli parlimen serta peniaga dan pengimport kereta, diplomat dan individu lain yang menikmati kemudahan tersebut untuk memohon AP daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).
Surat dari bahagian import dan eksport Miti itu, dikeluarkan pada bulan Februari dan dialamatkan kepada setiausaha dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Mohd Yasin Bidin, menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan keputusan tersebut pada 25 Oktober 2009.
Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan para 'yang berhormat' kepada rakyat dan negara, kata surat tersebut.
Menurutnya lagi, kereta yang diimport itu - mesti berusia lima tahun atau kurang - tidak boleh dipindahkan hakmilik kepada pihak lain. Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada pemberian AP kepada ADUN itu juga memerlukan mereka membayar yuran RM10,000 untuk permit yang diperolehi itu.
Pembayaran yuran tersebut diumumkan oleh Miti pada bulan Oktober ekoran aduan bahawa AP telah disalahgunakan dengan dijual pada pihak ketiga, daripada digunakan untuk memajukan usahawan kereta bumiputera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan