Belanjawan 2013 yang masing-masing dibentangkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memberi peluang kepada rakyat membuat perbandingan di antara dasar-dasar ekonomi yang dibawa.
Lazimnya, perdebatan ekonomi di antara kedua-dua pakatan politik kebelakangan ini berkisar kepada tawaran-tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat yang dilihat lebih berpihak kepada rakyat terbanyak, tetapi dipersoalkan oleh Barisan Nasional atas kebimbangan ia tidak mungkin dapat dilaksanakan.
Ini satu perkembangan baik kerana ia melambangkan sistem dua parti semakin mendapat tempat di Malaysia. Perbandingan dasar seperti ini juga adalah fungsi dan tanggungjawab utama pembangkang persekutuan seperti yang selalu dituntut melalui kabinet bayangan. Kebolehan Pakatan Rakyat menampilkan satu gagasan ekonomi yang jelas berbeza dari pendekatan Barisan Nasional hingga berjaya mempengaruhi perdebatan ekonomi adalah bukti sistem bayangan sedia ada (seorang wakil dari tiga parti bagi setiap portfolio) berfungsi dengan baik.
Pun begitu, perdebatan yang sihat ini hanya boleh berlangsung dengan keikhlasan kedua-dua pihak duduk di atas satu pentas membincangkan fokus ekonomi negara. Tindakan ahli parlimen Barisan Nasional terutamanya barisan kabinet yang memulaukan pembentangan dan jawapan balas Ketua Pembangkang terhadap Belanjawan 2013 bukanlah amalan yang baik dalam sistem demokrasi. Begitu juga keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi walaupun beliau menggunakan peluang lintas langsung pembentangan Belanjawan 2013 untuk menyerang Ketua Pembangkang.
Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat meneruskan saranan dan jemputan kami supaya wakil-wakil dari Barisan Nasional berani hadir dan tampil mempertahankan pendekatan ekonomi mereka sambil menjawab soalan dari rakyat, bukannya hanya berani berhujah dalam siaran televisyen atau di Dewan Rakyat semata-mata. Tawaran dan saranan ini ditujukan khas kepada tokoh-tokoh pimpinan muda Barisan Nasional seperti Khairy Jamaluddin, Abdul Rahman Dahlan, Chua Tee Yong atau P Kamalanathan.
Pakatan Rakyat akan mengadakan Forum Terbuka Belanjawan 2013 untuk mengupas situasi ekonomi semasa dan perbandingan belanjawan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional pada hari Rabu (3 Oktober 2012) jam 830 malam bertempat di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya (berdekatan Hospital Assunta). Forum akan disertai oleh ahli-ahli panel dari Pakatan Rakyat iaitu YB Dr Dzulkifly Ahmad (PAS), Dr Ong Kian Ming (DAP) dan Sdr Rafizi Ramli (KEADILAN).
Forum ini adalah terbuka kepada semua terutamanya kepada pimpinan muda Barisan Nasional atau mana-mana wakil Barisan Nasional yang berani tampil ke depan mempertahankan Belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu.
YB DR DZULKIFLY AHMAD
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR/AJK PAS PUSAT
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR/AJK PAS PUSAT
DR ONG KIAN MING
STRATEGIS PILIHANRAYA DAP
STRATEGIS PILIHANRAYA DAP
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan