Selasa, 10 Februari 2009

DAP terus sokong Anwar: Guan Eng-malaysiakini

DAP akan terus menyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Anwar akan kekal sebagai Ketua Pakatan Rakyat (PR) seperti yang dipersetujui barisan kepimpinan pakatan itu.

"Pendirian kita tidak berubah. DAP masih sokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan saya tidak mahu membuat kenyataan lain," katanya kepada media selepas menziarahi mayat veteran Pemuda MCA, mendiang Datuk Sim Mow Yu di Sekolah Menengah Pay Fong, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, tiada dasar mana-mana parti boleh dianggap sebagai dasar PR, melainkan diluluskan sebulat suara oleh ketiga-tiga parti yang menganggotai pakatan berkenaan.

Guan Eng berkata sedemikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa Anwar tidak layak memimpin PR berikutan beliau hanya memberi masalah kepada pakatan pembangkang.

Kenyataan itu dibuat Karpal gara-gara PR gagal mempertahankan negeri Perak selain berpunca daripada tindakan Anwar mempromosi budaya lompat parti dengan meminta wakil rakyat BN menyertai PR bagi menguatkan kedudukannya.

Guang Eng juga merayu Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya menggunakan saluran dalaman parti jika ingin mengubah dasar PR dan tidak menggunakan media bagi tujuan itu.

Sementara itu, Guan Eng mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Mow Yu yang meninggal dunia Khamis lalu akibat sakit tua.

Mow Yu berusia 96 tahun adalah seorang pejuang akademik masyarakat Cina dan pernah diiktiraf dalam Malaysia Book Of Records sebagai pengetua paling lama berkhidmat iaitu selama 27 tahun selain menjadi guru paling tua.

"Bulan lalu saya ada melawat beliau, nampaknya kelihatan sihat, tetapi saya tidak menyangka beliau meninggal dan ini adalah satu kehilangan besar," katanya.

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...