Sabtu, 4 Mei 2013

Janji PAS Jika PR memerintah PUTRAJAYA -Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan HadiI Awang




Rayuan Khas Tuan Guru Mursyidul Am PAS kpd pengundi Islam


Bismilllahir-Rahmanir-rahim.

Assalamu’alaikum waramatullahi wa barakatuh.

Saudara saudari pengundi sekelian,

Dalam masa kurang dari 48 jam dari sekarang, kita akan melalui satu
proses demokrasi bagi menentukan parti manakah yang akan memegang
tampuk pemerintahan negara untuk tempoh 5 tahun akan datang.

Pada penghujung tempoh berkempen ini, saya yakin saudara saudari
telah menerima pelbagai bentuk maklumat mengenai tawaran-tawaran
dari Barisan Nasional mahu pun dari Pakatan Rakyat, sama ada melalui
media arus perdana atau media baru seperti Facebook, Blog, Twitter dan
sebagainya.

Berdasarkan perkembangan kempen selama dua minggu ini, maka saya
dengan rendah hati merayu agar saudara saudari sekalian dapat mengundi
calon-calon Pakatan Rakyat. Jika di Dun/Parlimen itucalon PAS, maka
undilah PAS. Begitulah di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding,
undilah PKR dan di mana ada calon DAP, maka undilah DAP.

Atas semangat pemuafakatan tahaluf siasi, PAS, PKR dan DAP sedia
menjadi pilihan terbaik dari apa yang Barisan Nasional lakukan selama
55 tahun memerintah Malaysia.

Justeru PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan
politik Islam, sudah tentu PAS tidak akan berganjak seinci pun dalam
memelihara kesucian agama Islam. Atas penegasan ini, maka PAS sedia
menawarkan peranan yang lebih besar bagi menjamin kedudukan Islam
sebagai agama Persekutuan. PAS sedia memastikan kedudukan Islam
dimartabatkan sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan
Negara. Ini telah dibuktikan sepanjang sejarah perjuangan PAS sejak
dari dahulu lagi––PAS tanpa rasa kekok atau apologetik––PAS sentiasa
meletakkan kesucian Islam pada kedudukan yang paling tinggi di dalam
perjuangan kami.

Saya dengan ini, memberi jaminan seutuhnya sekiranya Pakatan Rakyat
menguasai Putrajaya, maka PAS akan terus menjunjung kemuliaan Islam
dan memastikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tunjang kepada
sistem Raja Berperlembagaan. Hal ini penting, tatkala Sistem Beraja
dicabar oleh beberapa pindaan Perlembagaan sejak 80-an lagi, PASlah
satu-satunya parti yang konsisten di dalam mempertahankan sistem

Raja Berperlembagaan ini di hadapan rakyat. Natijahnya, PAS sedia
memastikan institusi Raja terus disanjung, seiringan dengan kedaulatan
Raja-Raja Melayu sebagai institusi bersejarah di tanah air tercinta ini.

Oleh itu PAS akan terus memelihara keluhuran Perlembagaan sebagai
undang-undang dasar yang paling tinggi di dalam sistem pemerintahan
Negara, dan tidak rela perlembagaan itu dimanipulasikan oleh mana-
mana pihak demi agenda politik tertentu. Tekad PAS adalah untuk terus
menjuarai usaha-usaha untuk melindungi dan mempertahankan hak-hak
rakyat, khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera sebagaimana
termaktub di dalam Perkara153 Perlembagaan Malaysia. PAS tidak akan
segan silu untuk menjadi jurubicara rakyat dalam Perkara ini, dan dalam
masa yang sama, memberikan hak-hak yang adil dan saksama kepada
seluruh kaum-kaum lain sebagaimana peruntukan yang ada.

Akhir sekali, saya memberi jaminan bahawa PAS akan terus berjuang
untuk membebaskan penjawat awam dari cengkaman politik dan
mempastikan tiada seorang pun kakitangan awam menjadi mangsa
politik walaupun mereka mempunyai kefahaman politik yang berbeza.
Kita memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun penjawat awam,
termasuklah 15,000 kakitangan KEMAS dan 10,000 kakitangan JKKK di
seluruh negara yang akan dibuang kerja jika Pakatan Rakyat memerintah
negara selePAS PRU-13 nanti.

Undilah PAS. Undilah calon-calon Pakatan Rakyat.
Ini kalilah! Ubah!
Kekal Kelantan Ubah Putrajaya.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan

“JAMINAN PAS TERHADAP KEPENTINGAN MELAYU-ISLAM DI MALAYSIA”

1.         Penubuhan suatu gagasan besar yang bernama Pakatan Rakyat (PR) oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah untuk membawa Malaysia ke satu era baru, iaitu menolak politik berasaskan perkauman yang sekian lama di monopoli oleh parti-parti yang membentuk Barisan Nasional dan untuk menolak kerosakan yang telah membarah dalam negara kita ini.
2.         Pakatan Rakyat telah bergerak dengan begitu teguh, di mana kebersamaannya adalah di asaskan oleh perkara yang dipersetujui bersama di antara PAS, DAP dan PKR yang telah diperincikan menerusi deklarasi-deklarasi Konvensyen PR, Buku Jingga dan Manifesto yang tidak menindas hak mana-mana bangsa, agama ataupun jantina. Hasilnya, PR telah menjadi suatu muafakat politik yang mampu untuk menggantikan Barisan Nasional yang sudah semakin bermasalah untuk menguruskan negara kita ini.
3.         Sehubungan dengan mandat besar yang kita perlukan dari rakyat dalam PRU-13 ini, PAS sekali lagi ingin memberikan jaminan bahawa institusi awam yang berkait rapat dengan kedudukan orang Melayu beragama Islam dalam negara ini sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan terjejas sedikit pun.
4.         PAS akan memastikan kepentingan Melayu dan Islam terjaga dengan baik dalam Pakatan Rakyat tanpa sedikitpun mengganggu atau bertindak tidak adil kepada mana-mana pihak. Maka kewujudan agensi dan entiti seperti UITM, MARA, Tabung Haji dan lain-lainnya akan terus diperkukuhkan sesuai dengan tuntutan masa untuk menghadapi cabaran yang semakin sengit di dunia luar.
5.         Berasaskan jaminan PAS ini, maka rakyat Malaysia yang menjadi pengundi dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013 ini tidak perlu merasa ragu lagi untuk memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat, menerusi lambang PAS, DAP dan PKR. PAS akan membalas amanah rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat memuliakan Islam, meluhurkan Perlembagaan serta berkebajikan untuk rakyat.
Selamat Mengundi.
MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAKATAN HARAPAN RAKYAT
ABDUL
HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...