Selasa, 20 Disember 2016

SYRIA DI HATIKU


Pengeboman udara dan serangan darat ke atas Bandaraya Aleppo,Syria menyaksikan kematian dan  penderitaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Kini, masih terdapat puluhan ribu lagi rakyat Aleppo termasuk yang cedera dan yang cuba melarikan diri tetapi terperangkap. Antaranya bayi, kanak-kanak, dan warga tua.

Mereka kesejukan dengan suhu di bawah 5 darjah celsius - tidur di tepi-tepi jalan menunggu pasukan pembantu.

Puluhan ribu telah tiba di sempadan Turki selepas mengalami perjalanan yang sukar dan menakutkan. Namun, kemudahan dan peralatan untuk mereka sangat tidak mencukupi.

Yayasan Darul Hijrah (YDH sebagai pertubuhan berdaftar) sejak dulu, Alhamdulillah berterusan melaksanakan MISI KEMANUSIAN untuk rakyat Syria.

Tiga warga Syria petugas sukarelawan YDH kini berada di lapangan iaitu Saudara Imad, Husam dan Mohanad.

Kami bekerjasama dengan Omari Society For Orphan yang beribu pejabat di Gaziosmanpaşa, İstanbul, Turki. Pertubuhan ini menjaga anak-anak yatim yang baharu tiba dari Syria dan menguruskan kebajikan pelarian.

YDH menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dapat bersama YDH dan Omari Society For Orphan (www.omariorphan.com) bagi menghulurkan apa jua bantuan untuk Rakyat Syria yang sedang menderita atas perang yang ditimpakan ke atas mereka.

Hulurkan segera sumbangan/infaq/zakat untuk Tabung Bantuan Kecemasan Syria Dihatiku. Bantuan anda sangat besar maknanya untuk saudara kita di Syria. Sumbangan Tuan/Puan akan digunakan khusus untuk membeli makanan,ubatan,selimut,baju sejuk, dan khemah buat mereka.
Sumbangan boleh di salur ke akaun: 
Maybank: Yayasan Darul Hijrah (5660 1060 9934).

Mohon maklum setiap sumbangan via whatsapp 018-359 0403 dan email ke admin@yayasandh.com untuk urusan resit dan audit.

Moga sedikit amal jariah meringankan kesusahan saudara kita diterima Allah S.W.T sebagai amal soleh kita yang paling ikhlas.

YB Dato Haji Husam bin Musa,
Pengerusi Kehormat,
Yayasan Darul Hijrah

Jumaat, 16 Disember 2016

PERSEMPADANAN SEMULA: SPR PERLU LEBIH TERBUKA KEPADA RAKYAT


Hari ini, saya dan sdri Nalina Nair yang mewakili 110 orang pembantah syor persempadanan semula bagi Parlimen Setiawangsa telah mengarahkan peguam kami untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman yang telah difailkan pada 18 November yang lalu. 

Ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), melalui satu surat bertarikh 25 November 2016, akhirnya telah mengakui bahawa 110 borang bantahan yang kami masukkan pada 11 Oktober lalu telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. 

SPR juga akhirnya bersetuju untuk mengadakan satu Siasatan Tempatan bagi Parlimen Setiawangsa pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Walaupun ini boleh dianggap sebagai suatu kemenangan buat pengundi Setiawangsa, ia juga membuktikan bahawa reformasi proses persempadanan semula amat diperlukan, termasuk: 

1) mengumum sebab khusus mengapa sempadan sesebuah daerah mengundi itu diubah agar penduduk memahami rasional SPR dalam mengubah sempadan pilihanraya;

2) mengumum pasukan pakar topografi dan tebaran penduduk yang diguna SPR dalam merangka syor persempadanan semula; dan 

3) mereformasi proses persempadanan semula untuk memudahkan lebih ramai pengundi terlibat secara langsung dari peringkat perangkaan syor ke proses bantahan dan selanjutnya.

SPR perlu menunjukkan kesungguhan politik (“political will”) untuk mereformasi proses persempadanan semula agar ia menjadi lebih telus, lebih adil, dan yang paling penting lebih terbuka kepada kritikan dan pandangan pengundi dan penduduk sesebuah bahagian pilihanraya.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

16 Disember 2016

Selasa, 13 Disember 2016

PERJANJIAN BERSAMA KERANGKA KERJASAMA PAKATAN HARAPAN DAN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Parti Amanah Negara (AMANAH)
DAN
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)

13 Disember 2016

PERJANJIAN ini adalah di antara:

Pakatan Harapan yang diwakili oleh:

Parti Keadilan Rakyat atau KEADILAN yang diwakili oleh Presidennya Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail;

Parti Tindakan Demokratik atau DAP yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya Saudara Lim Guan Eng;

dan

Parti Amanah Negara atau AMANAH yang diwakili oleh Presidennya Haji Mohamad Sabu

Bersama

Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM yang diwakili oleh Presidennya Tan Sri Dato’ Hj Muhyiddin Hj Mohd Yassin

Dengan ini memeterai satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan – PPBM mengenai persetujuan persetujuan bersama oleh keempat-empat parti di dalam perkara-perkara seperti yang terkandung dalam dokumen ini.

Mewakili PAKATAN HARAPAN dan PPBM kami berjanji bahawa persetujuan-persetujuan ini
akan dihormati, didokong dan dilaksanakan bersama oleh parti-parti kami selagi perjanjian ini berkuatkuasa dan persetujuan-persetujuan di dalamnya adalah mengikat keempat-empat
parti.

DATO’ SERI DR WAN AZIZAH
WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

LIM GUAN ENG
Setiausaha Agung DAP

HAJI MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH

TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN
HJ MOHD YASSIN
Presiden PPBM

Ditandatangani pada hari ini 13 Disember 2016 Masehi bersamaan 13 Rabi'ul Awwal 1438
Hijrah di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

PERJANJIAN

BAHAWASANYA Pakatan Harapan (yang terdiri daripada KEADILAN, DAP dan
AMANAH); dan PPBM dengan ini bersetuju dan komited akan perkara-perkara berikut:

1. Berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan
1957/63 terutamanya:

i. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan
damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dan kepentingan
sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

ii. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan;
dan

iii. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu dan lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan
dan pembelajaran bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan
Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat
antarabangsa.

2. Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi
rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran,
keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik.

3. Meletakkan satu calon sahaja untuk mewakili Pakatan Harapan - PPBM di dalam
sesuatu pilihanraya di mana-mana peringkat setelah pembahagian kerusi
ditentukan melalui perundingan di antara kedua pihak berdasarkan prinsip
kebolehmenangan (winnability).

4. Berunding dengan parti yang belum berada di dalam perjanjian ini untuk
memastikan seboleh mungkin satu calon sahaja yang akan mewakili pembangkang
bagi melawan Barisan Nasional.

5. Mewujudkan gabungan parti-parti politik pembangkang sebelum Pilihanraya
Umum ke 14 dengan tujuan untuk membentuk kerajaan selepas pilihanraya.

6. Mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi pilihanraya, manifesto dan logo bersama dan merangka gerakerja Pilihanraya Umum ke 14.

7. Atas semangat setiakawan dan kerjasama, parti-parti dalam rangka perjanjian ini
hendaklah memelihara hubungan baik antara satu sama lain dan menyelesaikan
pertikaian menerusi perundingan bersama.

Selasa, 6 Disember 2016

Kontroversi Filem Kembara Seniman Jalanan bersama Nasir Jani dan Pyanhabib


DISKUSI JALANAN - 11/12/16 - AHAD - PADANG KOTA LAMA - 4.30ptg.

Catatan Pyanhabib Rahman

Dalam Festival Filem Malaysia ke-6, tahun 1986, satu Malaya sudah tahu gua dicalon untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk filem Kembara Seniman Jalanan. Gua tak ambil tahu pun hinggalah beberapa jam sebelum majlis berlangsung di PWTC, dia dinasihatkan kawan wartawan supaya hadir tanda hormati majlis (hingga sekarang gua tidak tahu gua dijemput atau tidak).

Sekitar satu jam sebelum majlis, gua putuskan hadir. Gua naik teksi dari CM ke `Pusat Dagangan Dunia Putra' kata gua kepada driver teksi dengan was-was sebab gua pun tidak tahu di mana `Pusat Dagangan Dunia Putra'. Keh keh keh!

Majlis sudah bermula masa gua sampai tetapi gua masih terpimga-pinga sebab gua jenis tak reti masuk majlis yang berlampu lip-lap. Dengan berseluar jeans dan jaket askar ...

Gua tercengang-cengang duduk di satu meja bersama Uji Rashid (yang kebetulan gua sudah kenal sebelum itu). Belum lama gua tarik nafas, gua dikejutkan oleh Uji Rashid dan orang sebelah meja minta gua naik pentas.

Panik gua tak habis, gua hendak tidak hendak terus ke pentas di mana Jins Shamsudin menunggu. Gua naik dan memberi salam pada semua. Gua ambil kertas keputusan dari Jins untuk tahu keputusan sebenar.

Gua lagi terpinga-pinga bila keputusan pada kertas yang gua baca menunjukkan gua diberi award pelakon pembantu untuk filem Tsu Feh-Sofiah (dua filem gua lakon masuk final festival sebenarnya) tentulah gua panik tak habis sebab gua dicalon untuk filem KSJ dan bukan untuk Tsu Feh-Sofiah. Gua berpegang dengan apa yang telah dicalonkan iaitu untuknfilem KSJ.

Jins mendesak gua terima tetapi gua tetap menolak hinggalah gua ambil award dan bercakap di microfon begini: “Terima kasih untuk award ini, sebagai pelakon saya terima tetapi sebagai peribadi, saya tolak.

Ok, saya pegang award ini untuk.bergambar. Selepas itu.gua letak award di rostrum, Jins tak terkata bila tengok gua tinggalkan award.

Hadirin apatah lagi, panik tengok gua atau tidak gua tak tahu.

Yang gua tahu, sebaik turun pentas gua diserbu Nasir Jani dan gengan KSJ, gua dipeluk dan diangkat lonjak mereka.

Hadirin terus tertumpu kepada kami, gua syak mereka mencemuh. Kenapa gua dipeluk diangkat lonjak kawan-kawan secara beramai-ramai di depan majlis yang dihadiri TPM Ghafar Baba?

Jawapannya di Padang Kota hari ahad ini.

Kerajaan perlu tangguhkan pemeteraan perjanjian HSR dengan Singapura sebelum buktikan kemampanan projek

Kenyataan media Pakatan Harapan Mengenai HSR KL-Singapura
6 Disember 2016

Pakatan Harapan menyeru kerajaan untuk menangguhkan pemeteraan perjanjian projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR)


dengan kerajaan Singapura yang dijadualkan pada Disember 21 ini sehingga suatu kajian yang terperinci, kukuh dan telus untuk membuktikan kemampanan projek tersebut.

Disebabkan pendapatan yang bakal dijana akan dikongsi antara Malaysia dan Singapura, kerajaan perlu membentangkan pelan kewangan yang terbuka kepada rakyat tentang nisbah pendapatan yang akan diperoleh Malaysia serta bagaimana kos pembinaan akan ditanggung antara dua pihak.

Projek ini melibatkan kewangan negara yang besar-besaran dan banyak tanah rakyat dijangka akan diambil oleh kerajaan bagi membina landasan HSR yang baru. Oleh itu, kerajaan tidak boleh merahsiakan maklumat projek ini seperti negara Dunia Ketiga.

Jumlah kos untuk projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang mempunyai landasan sepanjang 350 km dijangka tidak kurang daripada 40 bilion ringgit.

Lebih penting lagi, kini terdapat kira-kira 45 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Singapura setiap hari, bermaksud kapasiti pengangkutan udara harian antara dua tempat ini ialah 9,000 orang jika setiap penerbangan boleh mengambil 200 penumpang. Apakah Malaysia perlu mengambil risiko dengan membekalkan kapasiti baru 18,265 penumpang HSR? Ini merupakan dua kali ganda kapasiti pengangkutan udara sedia ada tetapi pulangannya hanya mampu membayar faedah pinjaman biarpun tiket dijual habis setiap hari?

Pakatan Harapan menyeru kerajaan agar tidak mengorbankan kepentingan rakyat dengan membuat pelaburan yang tidak bijak. Kerajaan mesti mengambil iktibar daripada episod pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di mana hutang bertokok tambah dan akhirnya rakyat pula yang perlu tanggung melalui cukai GST, kenaikan tol lebuhraya dan tambang pengangkutan, potongan subsidi minyak dan sebagainya.

Kami menyeru supaya satu kertas kerja yang terperinci terutamanya butir-butir kewangan seperti kos projek, jumlah pinjaman dan perkongsian pulangan dengan Singapura dibentangkan kepada rakyat.


Memandangkan bahawa KTM double tracking akan dilaksanakan dari Gemas ke Johor Bahru dengan kos RM8 billion, ia lebih wajar untuk memberi tumpuan kepada sistem tren ETS KTM dan tidak melaksanakan HSR yang akan memberi persaingan kpd ETS dan mengurangkan keuntungan ETS.

YB Sim Tze Tzin (PKR)

YB Dr Hatta Ramli (AMNAH)

YB Dr Ong Kian Ming (DAP)

--
Sim Tze Tzin
Member of Parliament for Bayan Baru

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...