Jumaat, 16 Disember 2016

PERSEMPADANAN SEMULA: SPR PERLU LEBIH TERBUKA KEPADA RAKYAT


Hari ini, saya dan sdri Nalina Nair yang mewakili 110 orang pembantah syor persempadanan semula bagi Parlimen Setiawangsa telah mengarahkan peguam kami untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman yang telah difailkan pada 18 November yang lalu. 

Ini kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), melalui satu surat bertarikh 25 November 2016, akhirnya telah mengakui bahawa 110 borang bantahan yang kami masukkan pada 11 Oktober lalu telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. 

SPR juga akhirnya bersetuju untuk mengadakan satu Siasatan Tempatan bagi Parlimen Setiawangsa pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Walaupun ini boleh dianggap sebagai suatu kemenangan buat pengundi Setiawangsa, ia juga membuktikan bahawa reformasi proses persempadanan semula amat diperlukan, termasuk: 

1) mengumum sebab khusus mengapa sempadan sesebuah daerah mengundi itu diubah agar penduduk memahami rasional SPR dalam mengubah sempadan pilihanraya;

2) mengumum pasukan pakar topografi dan tebaran penduduk yang diguna SPR dalam merangka syor persempadanan semula; dan 

3) mereformasi proses persempadanan semula untuk memudahkan lebih ramai pengundi terlibat secara langsung dari peringkat perangkaan syor ke proses bantahan dan selanjutnya.

SPR perlu menunjukkan kesungguhan politik (“political will”) untuk mereformasi proses persempadanan semula agar ia menjadi lebih telus, lebih adil, dan yang paling penting lebih terbuka kepada kritikan dan pandangan pengundi dan penduduk sesebuah bahagian pilihanraya.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

16 Disember 2016

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...