Rabu, 1 Jun 2016

LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA (LTAT) SAMAN SAYA; MASALAH MASIH DILAPORKAN KEPADA SAYA - RAFIZI



Pada 30 Mac 2016, Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Tan Sri Laksamana (B) Mohd Anwar Mohd Nor mengeluarkan kenyataan supaya saya menyerahkan nama-nama pesara tentera yang belum menerima pampasan persaraan dari LTAT walaupun telah bersara berbulan-bulan. Beliau memberi tempoh 24 jam untuk saya kemukakan senarai itu dengan ugutan akan menyaman saya sekiranya saya gagal patuhi; LTAT akan memfailkan saman terhadap saya.

Pada 31 Mac 2016, saya mengemukakan senarai 110 pesara tentera yang belum menerima pampasan gratuiti pada ketika itu seperti yang dituntut.

Pada 4 April 2016, LTAT mengeluarkan kenyataan mengenai status pembayaran pampasan kepada 110 pesara tentera itu yang secara tidak langsung mengakui memang ada kelewatan pembayaran pampasan. Status mereka adalah seperti berikut:

1.    69 dari pesara yang saya kemukakan dibayar di antara 16 Mac 2016 dan 4 April 2016
2.    Dokumen bagi 23 pesara tentera baru diperolehi dari Unit Gaji Angkatan Tentera (UGAT) dan pembayaran sedang diproses
3.    Dokumen bagi 16 pesara belum diterima dari UGAT

Walaupun kenyataan LTAT pada 30 Mac 2016 mengaitkan tindakan saman terhadap saya bersyarat jika saya gagal mengemukakan senarai pesara tentera yang lewat mendapatkan pampasan, nampaknya LTAT tidak patuh kepada syaratnya sendiri apabila ia menghantar Surat Tuntutan (“Demand Letter”) pada 5 April 2016 iaitu hari yang sama saya ditahan polis di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

2 minggu kemudian pada 13 April 2016, LTAT menyerahkan kepada saya writ saman dan Penyata Tuntutan (“Statement of Claim”) yang telah difailkan di mahkamah.

Saya kesal kerana tindakan saya membela pesara tentera yang lambat mendapat pampasan dijadikan alasan untuk menekan saya. Selain daripada saman LTAT ini, saya juga sedang dibicarakan di bawah Akta Rahsia Rasmi yang hukuman mandatori adalah sekurang-kurangnya satu bulan penjara. Pada masa yang sama saya terus mendapat aduan setiap minggu dari pesara tentera bahawa berlaku kelewatan dalam pembayaran pampasan persaraan.

Pun begitu, saya teruja untuk bertemu LTAT dan barisan pimpinan LTAT di mahkamah.

Saya kini sedang menyiapkan Penyata Pembelaan (“Statement of Defence”) bersama-sama pasukan peguam saya yang akan difailkan minggu depan. Saya juga sedang mempertimbangkan kewajaran menyaman LTAT yang dari awal menuduh saya berniat jahat dan perkara yang saya bawa adalah pembohongan; sedangkan maklumat terkini dari laporan Ketua Audit Negara dan lain-lain menunjukkan fakta-fakta yang saya kemukakan tidak pernah dibidas.

Perbicaraan kes ini akan memberi ruang kepada saya memanggil saksi-saksi yang selama ini berjaya melepasi perhatian awam walaupun beliau terlibat dengan 1MDB iaitu Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. Sebagai Ketua Eksekutif LTAT, beliau tidak boleh lari dari hadir memberi keterangan dalam kes ini.

Kes ini juga akan memberi ruang kepada saya membuat permohonan kepada mahkamah mendapatkan pelbagai maklumat dan dokumen berkaitan isu-isu kewangan yang membabitkan LTAT dan 1MDB.

Saya yakin selagi kita memberi perhatian untuk terus membongkar 1MDB, selagi itu kita akan berjaya mengekalkan fokus rakyat kepada isu-isu penyelewengan berhubung 1MDB ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tiada ulasan:

Luka Rakyat

Rakyat itu selalu diam, tapi ia pencatat dan tidak pernah lupa, rakyat itu seperti naga, melingkar dengan berat badan dan diam dalam kehenin...